Pengarah Jabatan Undang-Undang MPAJ Johari Atli (tengah depan) bersama peserta pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran peringkat MPAJ di Auditorium MPAJ di Menara MPAJ pada 24 April 2022. Foto MPAJ
AGENDABERITA UTAMAPBTSELANGOR

89 peserta sertai pertandingan hafazan, tilawah al-Quran anjuran MPAJ

SHAH ALAM, 26 APRIL: Seramai 89 peserta berusia antara tujuh hingga 17 tahun menyertai pertandingan hafazan dan tilawah al-Quran anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada hujung minggu lalu.

Pegawai komunikasi korporatnya berkata pertandingan sempena Nuzul al-Quran dan Ramadan yang berlangsung di Auditorium MPAJ itu bertujuan mencungkil bakat golongan remaja di sekitar daerah itu.

“Surah terpilih untuk dipertandingkan adalah surah At-Takaathur, Al-Qaari’ah, Al-Bayyinah, As-Syamsi dan At-Thariq.

“Bagi kategori tilawah al-Quran, peserta diberi masa lapan minit untuk mengalunkan bacaan daripada surah pilihan masing-masing,” kata Norhayati Ahmad dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peserta bagi kedua-dua kategori dinilai juri jemputan profesional dalam bidang tilawah dan qiraat iaitu Ammar Mukhlis Abdul Muhsin, Mohd Rashid Ridha Mohd Shukri dan Nazmi Md Nusi.

“Secara keseluruhan pertandingan ini berjaya mencapai objektif asal. Tahniah diucapkan kepada semua peserta,” katanya.

Pertandingan selama dua hari turut disiarkan secara langsung melalui platform MPAJ TV dan Facebook MPAJ.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan sijil penyertaan, naib johan (RM300 dan sijil penyertaan), ketiga (RM200 dan sijil penyertaan) manakala 12 hadiah saguhati menerima RM50 serta sijil penyertaan.


Pengarang :