Orang ramai beratur untuk membeli tiket bas di kaunter Terminal Sentral Kuantan (TSK) pada 17 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aidilfitri: 28,000 tiket bas konsurtium E-Mutiara habis dijual

KOTA BHARU, 25 APRIL: Sebanyak 28,000 tiket bas ekspres Konsortium E-Mutiara ke semua destinasi di Semenanjung bagi perjalanan bermula Selasa (26 April) sehingga 2 Mei ini sempena sambutan Aidilfitri habis dijual.

Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata antara tiket paling laris bagi tempoh itu adalah bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Kita jangkakan hampir 4,000 penumpang sehari bagi perjalanan ke seluruh negara. Kalau waktu biasa kita beroperasi dengan sebanyak 90 perjalanan sahaja sehari namun untuk menjelang musim perayaan nanti kita tambahkan lagi 30 perjalanan menjadikan sebanyak 120 perjalanan sehari.

Insya-Allah kita cuba menyempurnakan hajat mereka yang sudah lama tidak pulang beraya bersama keluarga dengan menyediakan perkhidmatan ini. Pihak kami juga akan melihat dari semasa ke semasa terutamanya dari segi operasi sama ada perlu ada pertambahan perjalanan atau pun tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan zakat kepada 300 anak yatim piatu termasuk ibu tunggal di Ibu Pejabat Konsortium E-Mutiara Berhad, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata Konsortium E-Mutiara mampu untuk menampung kapasiti perjalanan berkenaan terutamanya ketika Aidilfitri memandangkan pihaknya mempunyai seramai 150 pemandu dengan 70 bas.

“Mereka akan ditugaskan mengikut jadual yang ditetapkan oleh bahagian operasi bagi memastikan mereka mendapat rehat yang sepatutnya untuk mengurang sebarang kejadian yang tidak diingini. Malah, bas kami juga diselenggarakan mengikut syarat yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, kami juga bersyukur perkhidmatan bas kini dapat beroperasi dengan sepenuhnya. Walaupun pendapatan kami masih berada di bawah paras pendapatan sebenar namun industri ini dilihat bertambah baik dan kembali pulih dari semasa ke semasa ,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :