BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Meru giat tangani isu banjir, lambakan warga asing

Sebelum melangkah ke dunia politik, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar aktif dalam kegiatan pelajar sebelum terkenal sebagai penceramah bebas. Lantang menyuara isu keadilan dan kepentingan rakyat membawa beliau sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru mulai 2018.

Pengalaman itu memudahkan pemimpin kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mendampingi rakyat seterusnya membela kebajikan. Wartawan SITI ROHAIZAH ZAINAL menemu bual wakil rakyat yang mesra disapa Ustaz Fakhrulrazi untuk berkongsi pencapaian dan perancangannya dalam memajukan Dewan Undangan
Negeri (DUN) berkenaan.

Boleh kongsi penglibatan awal dalam politik hingga bertanding DUN Meru?

Saya bermula dalam bidang politik sejak muda lagi. Ahli keluarga juga terlibat dengan politik sebagai antara pengasas PAS di Bagan Datuk, Perak. Waktu di sekolah, saya juga agak agresif dalam politik. Apabila melanjutkan pengajian di Jordan, saya aktif dalam persatuan pelajar. Apabila melanjutkan pengajian di
Universiti Putra Malaysia, saya terlibat dengan politik kampus, menjadi tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan penceramah bebas.

Mungkin ramai tidak tahu saya juga pernah berkhidmat di Lembaga Zakat Selangor pada 2000 sebagai
pegawai dakwah dan pemasaran. Namun, minat yang mendalam dalam politik saya meninggalkan semuanya. Akhirnya berkecimpung sepenuh masa.

Meru tidak asing bagi saya kerana sebelum bertanding, saya memang mengajar di masjid dan surau di sini. Ini bermakna sudah belasan tahun sebelum bertanding. Ramai keluarga dan saudara menetap di Meru. Saya diminta untuk bertanding di sini bagi strategi politik dan atas dasar kepercayaan. Saya menang dengan majoriti hampir 10,000 walaupun Meru dikategori sebagai kawasan hitam.

Apakah cabaran utama yang YB lalui sejak menjadi wakil rakyat?

Cabaran ini kita tidak boleh lari sebab ujian sentiasa ada. Cabaran paling besar ialah apabila hendak selesaikan masalah rakyat tetapi kita tidak boleh buat. Contohnya hendak atasi banjir tetapi banjir lebih besar datang. Mental terkesan juga tetapi bukan sebab tanggungjawab tetapi ramai terjejas dan hilang pendapatan. Musibah datang berganda iaitu Covid-19 dan banjir besar. Namun, kita ambil pendekatan
semua ujian, pasti ada kebaikan di sebaliknya. Tidak diturunkan ujian sia-sia.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyampaikan bantuan kepada penerima sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 20 Januari 2022. Foto ADN Meru

Bagaimana kita hendak uruskan krisis, setiap masalah bukan masalah, saya yakin setiap masalah adalah peluang untuk berkhidmat atau membuat jariah sumbangan pada rakyat. Kalau tiada masalah, wakil rakyat tiada kerja dan tidak dapat jalankan tanggungjawab. Terima kasih kepada isteri, ibu bapa dan keluarga kerana mereka melepaskan saya kepada rakyat. Saya kehilangan masa bersama keluarga. Ini merupakan cabaran berat tetapi bila ada sokongan keluarga kita dapat laksana tanggungjawab dengan baik.

Apabila dipilih sebagai wakil rakyat, apakah yang YB nampak di Meru?

Perkara utama yang saya hendak buat apabila dipilih sebagai wakil rakyat ialah buat apa yang orang Meru hendak. Sebagai individu biasa di kawasan ini, terdapat empat isu utama iaitu infrastruktur, masalah banjir (perparitan), sampah dan warga asing. Isu infrastruktur, banyak jalan raya berjaya dibaiki.

Bagi masalah banjir iaitu perparitan, paling sukar diatasi sebab faktor muka bumi Meru bawah paras laut dan kedudukan agak jauh iaitu 13km dengan laut sedangkan Meru merupakan laluan utama air dari beberapa kawasan.

Kebijaksanaan Jabatan Kerja Raya mendalamkan kolam tadahan dan buat kolam tadahan baharu membantu mengelak kejadian banjir. Saya akui banjir tidak dapat diatasi sepenuhnya tetapi banyak berkurangan berbanding dahulu. Tahun ini, Kerajaan Negeri membelanjakan RM20 juta untuk buat kolam tadahan dan naik taraf sistem perparitan.

Isu sampah juga agak kritikal dan sukar kerana penduduk bertambah tetapi kutipan mingguan masih sama. Akhir sekali masalah warga asing kerana Meru merupakan kawasan industri dan dibanjiri warga asing. Bila tidak dikawal, timbul masalah luar kawalan seperti masalah sosial dan ketidakselesaan.

Saya ambil inisiatif dengan pengusaha-pengusaha besar untuk pastikan pekerja asing dikawal dengan meletakkan mereka di asrama dan mengambil warga tempatan yang terkesan Covid-19 bekerja.

Antara semua ini perkara manakah yang perlu lebih diberi perhatian?

Yang tidak puas hati lagi isu banjir dan sampah yang perlu diberi perhatian lebih. Infrastruktur, banyak kita selesaikan. Terima kasih juga kepada kerajaan pusat yang meluluskan dan melaksanakan tanggungjawab mereka, namun ada yang tidak dapat diselesaikan kerana bawah tanah persendirian.

Bagaimana pula aspek segi prasarana?

Secara spesifik tiada kerana isu utama hendak selesaikan masalah sedia ada terlebih dahulu selain kepadatan penduduk di Meru. Tiada tanah lagi untuk dibangunkan, cuma ada beberapa projek besar yang sudah diluluskan dan tunggu dimulakan. Antara projek itu ialah pembaikan Klinik Kesihatan Meru, pembinaan Hospital Kapar, Kompleks Sukan dan naik taraf jalan utama dari Klang Sentral ke Meru dan Meru ke Kapar.

Apakah perkembangan pembinaan kolam tadahan baharu?

Ada dua kolam tadahan baharu akan dibina untuk atasi masalah banjir iaitu kawasan tanah perkuburan Hokkien dan berhampiran Sekolah Kebangsaan Meru. Kolam tadahan ini dapat mengurangkan masalah banjir di Meru secara drastik dan dapat mengawal kemasukan air dari luar walaupun tidak sepenuhnya. Kolam ini dijangka mula dibina Mei ini dan berharap dapat diawalkan. Selain binaan baharu, kolam tadahan sedia ada seperti di Kampung Budiman juga akan dinaik taraf.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyaksikan serahan bantuan oleh Pekawanis pada 29 Januari 2022. Foto ADN Meru

Negara dilanda Covid-19, boleh YB kongsikan bantuan bagi membantu penduduk setempat?

Bantuan daripada Kerajaan Negeri dan pejabat DUN tetapi kita juga menerima sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Team Selangor, LZS, rakan-rakan ADN lain, badan bukan kerajaan serta persendirian. Saya anggar lebih 5,000 bakul makanan diagih kepada mangsa Covid-19. Ini daripada pejabat wakil rakyat sahaja tidak termasuk agensi lain.

Bagaimanakah pula bentuk bantuan ketika banjir melanda?

Secara spesifik saya tiada data terperinci tetapi difahamkan lebih 50 peratus mangsa banjir di Meru menerima Bantuan Selangor Bangkit. Cuma kita hendak ingatkan, bantuan Kerajaan Negeri diuruskan pejabat daerah dan tanah manakala wang Ihsan kerajaan pusat pula Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU). Apabila kerajaan pusat belum memberi bantuan sepatutnya, kita desak mereka segerakan.

Mungkin sepanjang bergelar YB ada kisah yang memberi kesan kepada YB?

Saya akui apabila bergelar wakil rakyat, tidak semua kita dapat bantu terutama ketika banjir besar Disember lalu. Pelbagai golongan rakyat yang datang ke pejabat untuk bertanya bantuan yang mereka layak tetapi baru-baru ini, saya didatangi suri rumah yang menangis meminta bantuan kerana tiada makanan. Beliau mengatakan tidak dapat bantuan makanan kerana menyewa bilik bersama anak yang sekelilingnya warga asing. Suami pula dipenjara kerana kes mencuri selepas diberhenti kerja ketika pandemik. Apabila ditanya mengapa tidak datang atau hubungi kami, beliau mengatakan tidak ada telefon dan malu untuk berjumpa.

Bagaimana Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu penduduk Meru yang berpendapatan rendah?

Sudah pasti IPR meringankan beban warga susah di Selangor sebab disampaikan terus kepada mangsa dan Kerajaan Negeri sasar terus keperluan penerima. Contohnya Skim Mesra Usia Emas, dahulu kita masukkan wang kepada waris sedangkan kita hendak bantu warga emas. Jadi, kita kemas kini dengan beri baucar
Jom Shopping. Kita mahu bantuan sampai kepada mereka. Semua disediakan Kerajaan Negeri untuk ringankan bebanan dan tiada di negeri lain.

Kehendak rakyat semakin bertambah dan program IPR sehingga hari ini sampai kepada golongan sasaran dan tidak terjejas, malah ramai dapat manfaat seperti dirancang Kerajaan Negeri.

Bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, setiap wakil rakyat menerima peruntukan RM800,000, namun bukan semuanya digunakan untuk bantuan, ada untuk pengurusan dan kerja pelaksanaan projek kecil dan program mesra rakyat. Selagi ada peruntukan, kita akan beri mengikut keperluan rakyat.

Bagaimana YB melihat sokongan dalam PRU akan datang?

Saya serahkan pada rakyat tetapi sepanjang berkhidmat saya berikan yang terbaik. Setakat ini, saya tidak perlu takut hendak berhadapan dengan orang. Saya akui tidak semua saya dapat jumpa tetapi saya berani berhadapan dengan rakyat kerana hari-hari bersama mereka.

Namun, saya yakin akan terus bersama warga Meru, tetapi yang tidak suka tetap begitu. Kejayaan dan setiap tugasan yang dapat dilaksanakan dengan baik hari ini kerana dapat sokongan dan penerimaan rakyat.

Kalau kerja bagus tetapi tidak dapat sokongan dan kerjasama rakyat, saya tidak boleh berada di sini dan ini dibuktikan pada banjir baru-baru ini.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, tiada masalah walaupun tidak menerima bantuan daripada kerajaan waktu banjir, tetapi alhamdulillah di sebalik jentera terhad dengan kakitangan serta sukarelawan yang hanya belasan orang, kita dapat bantu.

Malah dari berlainan parti juga ada membantu. Yang penting sekarang beri khidmat terbaik kepada rakyat Meru sebab mereka beri mandat pada saya untuk selesaikan masalah dan kita cuba buat.

Bagaimanakah cara YB mendekati penduduk di Meru?

Kita beri apa yang rakyat hendak dan selesaikan isu yang mereka hadapi. Mungkin mereka tidak nampak masalah di Meru sudah selesai atau dapat dikurangkan. Saya menghubungi mereka secara langsung, buat program dialog untuk mendapatkan maklumat masalah yang dihadapi dan pada masa sama jadikan mereka keluarga. Saya tidak buat temu janji dengan mereka kerana mereka boleh datang terus ke pejabat. Dengan cara ini, saya dapat dekati penduduk di sini.

YB pernah terpalit dengan keluar dan lompat parti, boleh kongsikan kisah sebenar?

Ramai salah faham dakwa saya lompat parti. Sebenarnya bukan isu lompat tetapi lebih kepada individu tiada kaitan dengan parti. Sebab itu, bagi saya dalam Pakatan Harapan (HARAPAN), tiada apa-apa isu dan kerjasama erat cuma ia isu peribadi. Saya dikeluarkan daripada parti sebab macam saya sebut, bukan masalah parti tetapi individu. Sekarang ini dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), saya sebagai ahli MPK Negeri, lantikan sebab ADN automatik sebagai jawatankuasa lantikan dalam parti dan selebihnya sebagai ahli.

Bagaimanakah pendekatan dalam menanangi isu pengundi muda?

Isu pengundi muda ini bukan dihadapi di Meru sahaja tetapi seluruh negara. Situasi anak muda kini amat kurang dengan politik dan beranggapan orang politik ini bermasalah, ini cabaran yang kita hadapi. Bagi saya, golongan muda kurang bermaklumat tentang kepentingan politik sedangkan politik ini yang menentukan
masa depan dan negara.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bermesyuarat bersama beberapa pihak antaranya JPS dan MPK berhubung banjir di Meru pada 29 Januari 2022. Foto ADN Meru

Tetapi disebabkan kegagalan dan kejahatan orang politikyang mereka nampak, itu yang menyebabkan mereka bosan dan menjauh dengan politik. Ini cabaran dalam memastikan mereka dapat membantu bersama untuk menyumbang idea dan tenaga dalam membangunkan negara, pada masa sama menyelesaikan masalah setempat.

Bagi saya sudah tiba masanya orang politik semua pihak termasuk orang politik berperanan menyampaikan mesej kepada anak muda tentang kepentingan ilmu politik untuk anak muda supaya mereka dapat memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja, bukannya yang mengambil kesempatan dengan kedudukan. Kita perlu dekati anak muda dengan pendekatan berbeza iaitu memahami apa yang mereka kehendaki.

Boleh ulas suasana perpecahan dalam parti politik kebelakangan ini?

Setiap parti politik ada matlamat berbeza, fenomena bertemu antara kepentingan dan matlamat. Mana yang ada matlamat boleh bergerak sama, jika matlamat berbeza itu sebab berlaku perpecahan, daripada segi politik tengok pada kepentingan. Parti yang baik adalah tidak mewakili kelompok tertentu sebab apabila mewakili kelompok tertentu dia akan menzalimi kelompok lain. Sebab itu apa sahaja gabungan selagi mengekalkan asas dan prinsip sama, Insya-Allah perpecahan tidak akan berlaku, tetapi apabila ada pihak meletakkan kepentingan dalam kepompong mereka sahaja akan ada bibit-bibit perpecahan.

Contohnya, hingga hari ini HARAPAN masih lagi kukuh dan ada kerjasama baik, tetapi adakah ia berkekalan? Saya yakin tidak sebab setiap sesuatu di dunia tidak akan kekal sebab tiada di dunia ini yang kekal, saya ambil pendekatan itu. Oleh sebab itu, kita kena perkukuh kubu kita sendiri, kukuhkan parti sendiri dan selagi
mana-mana parti beri kepentingan kepada rakyat dan letak keutamaan, kita akan kerjasama sebab masuk politik pun hendak bela rakyat. Tetapi tidak boleh nafikan mana-mana parti atau pihak hendak jaga kepentingan sendiri. Kita tengok dalam parti, pihak yang macam mana menguasai, kalau yang kuasai mereka yang bela rakyat, Insya-Allah yakin benda itu dapat kebaikan untuk rakyat, jika sebaliknya yang
dapat hanya kelompok itu sahaja.

Apakah usaha untuk perkukuh kerjasama dalam HARAPAN?

Kita ingin perkukuh kerjasama asasnya menghormati satu sama lain dan memahami keperluan satu sama lain dan terus jalin kerjasama, elak persepsi dan prasangka buruk, maka tidak wujud masalah. Setiap masalah yang timbul perlu selesaikan dengan rundingan dan dibawa bincang, bukan di luar hingga berlaku keretakan. Bagi saya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan, jadi keretakan dan kehancuran HARAPAN boleh disebabkan persepsi jahat yang berjaya ditimbulkan musuh politik. Lebih baik kita perkukuh kerjasama dengan meletak agenda rakyat dan membela mereka lebih penting daripada agenda parti masing-masing. Jika kita letak matlamat ini, kita akan dapat perkukuh kerajaan HARAPAN dan pada masa sama ramai dapat manfaat. Pada peringkat Selangor dan nasional, saya yakin kerjasama HARAPAN
cukup kukuh.


Pengarang :