Keadaan aliran trafik Plaza Tol Gombak arah Lebuhraya Pantai Timur berjalan perlahan tetapi lancar ketika tinjauan pada 2 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama setakat tengah hari

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Aliran trafik di beberapa kawasan di sekitar lebuh raya utama perlahan bermula pagi tadi hingga tengah hari ini, disebabkan pertambahan kenderaan dan dijangka berlanjutan sehingga lewat petang ini.

Bercakap kepada Bernama, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata keadaan berkenaan, kemungkinan berpunca daripada warga ibu negara yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu, untuk pulang ke kampung sempena bulan Ramadan.

“Aliran trafik perlahan di arah timur sebelum masuk ke Plaza Tol Gombak sejauh kira-kira 500 meter dan juga di Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau meminta pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, LLM menerusi Twitter setakat tengah hari ini melaporkan, trafik turut perlahan dari Bukit Jelutong Sentra ke Persimpangan Jalan Subang dan di Lebuhraya DUKE pula selepas Bandar Dalam ke Greenwood.

Situasi sama dilaporkan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) membabitkan arah utara sebelum memasuki Tol Skudai dan Dato’ Onn menuju ke Pasir Gudang di kedua-dua arah.

– BERNAMA


Pengarang :