Penerima sumbangan menunjukkan sampul raya ketika Program Sumbangan Aidilfitri MBI di Dewan Beringin, Gombak pada 29 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Asnaf hargai bantuan MBI, mahu beli baju raya, bayar bil tertunggak

GOMBAK, 29 APRIL: Sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada penduduk Gombak hari ini sempena Aidilfitri memberi sinar dan manfaat besar kepada penerimanya.

Selain membeli pakaian raya, warga emas Latifah Hussin berkata bantuan tunai diterima akan digunakan untuk membayar bil elektrik dan cukai tanah yang tertunggak sekian lama.

Jelas wanita berusia 64 tahun itu, penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu menjejaskan pendapatan sebagai guru mengaji sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan hidup.

Latifah Hussin, 64

“Sepanjang wabak makcik tiada kerja. Kadang-kadang jiran datang bantu. Kalau musim buah, makcik tolong orang jual buah. Sekarang musim raya, makcik tolong jual kuih raya.

“Jadi bantuan ini makcik hendak guna untuk raya dan selesaikan bil-bil tertunggak. Terima kasih kerana membantu dan prihatin dengan penduduk susah,” katanya.

Dia antara penduduk asnaf sekitar Gombak yang menerima sumbangan tunai dari MBI di Dewan Beringin Sri Gombak di sini hari ini.

Pesara tentera Abu Hassan Ibrahim, 75, pula berkata wang itu dijadikan modal membeli makanan tambahan kesihatan memandangkan dirinya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Abu Hassan Ibrahim, 75

“Persiapan raya buat sederhana sahaja sebab kurang sihat. Duit sumbangan ini lebih untuk beli ubat. Sumbangan ini sangat membantu dan meringankan beban belanja keluarga,” katanya.

Sementara itu, Azura Mohd Thoheri, 38, berkata sumbangan berkenaan meringankan beban keluarga selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya gunakan duit ini untuk biaya kos perjalanan pulang ke kampung di Kuala Lipis, Pahang malam ini. Bantuan diberikan pada masa tepat selain boleh tampung keperluan raya yang lain,” katanya.

 


Pengarang :