Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada Karinval Jualan Mega Prihatin Rakyat di pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ayam, daging paling laris, ramai buat persiapan juadah raya

SHAH ALAM, 30 APRIL: Ayam dan daging mencatatkan jualan tertinggi pada Karnival Jualan Mega Prihatin yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Turut laris ialah telur, lengkuas dan daun kunyit, antara bahan penting bagi menyediakan juadah raya, maklum ketua Jabatan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Pengunjung yang hadir hari ini tidak perlu ke tempat lain kerana mereka boleh mendapatkan semua kelengkapan juadah raya di sini,” kata Mohd Ramali Abu Bakar ketika ditemui.

Beliau menambah MBI turut bersedia meneruskan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi menjayakan program itu selepas Aidilfitri.

MBI menyumbang RM300,000 bagi program Jualan Prihatin Rakyat Mega di Padang Awam Batu Caves, Stadium Shah Alam dan Stadium Sabak Bernam yang diadakan serentak hari ini.

Program itu menawarkan 23,200 ekor ayam segar, 23,200kg daging, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung.

Inisiatif yang dilancar 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :