Orang ramai mengimbas kod QR MySejahtera ketika mengunjung bazar Ramadan PKNS untuk membeli juadah berbuka puasa di Shah Alam pada 3 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Bazar Ramadan Kompleks PKNS Shah Alam jadi tumpuan orang ramai

SHAH ALAM, 4 APRIL: Bazar Ramadan di Kompleks PKNS di sini meriah dengan kunjungan orang ramai yang mahu mendapatkan juadah berbuka puasa sempena hari pertama Ramadan.

Tinjauan Selangorkini di lokasi mendapati pengunjung dan peniaga memakai pelitup muka, namun keadaan yang sedikit sesak menyebabkan mereka sukar menjaga penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal di tiga pintu masuk bagi memastikan pengunjung mengimbas kod bar MySejahtera sebelum dibenarkan masuk ke bazar.

Selain itu, penganjur turut meletakkan penghadang dua laluan sehala supaya tiada pertembungan antara pengunjung yang masuk dan keluar.

Malah, beberapa anggota polis trafik dilihat berada di lampu isyarat berhampiran bazar terbabit bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

Seorang pengunjung, Afiq Zulhady Nordin, 31, mengakui gembira kerana berpeluang mengunjungi bazar Ramadan yang sering dikunjunginya saban tahun sebelum pandemik Covid-19.

Afiq Zulhady Nordin. Foto ZAREEF MUZAMMIL

“Seronok dapat merasai semula suasana Ramadan seperti dahulu kerana pengalaman dua tahun menyambut Ramadan ketika pandemik Covid-19 memang agak mencabar.

“Alhamdulillah tahun ini kita sudah dibenarkan mengunjungi bazar dan menunaikan solat Terawih tetapi tatacara operasi piawai (SOP) tetap perlu dijaga bagi mengelak jangkitan wabak.

“Saya juga menyaran pengurusan bazar meningkatkan lagi kawalan kerana saya dapati ada pengunjung yang tidak mengimbas kod bar MySejahtera,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi pengunjung yang ingin dikenali sebagai Hazman, 50, berkata orang ramai begitu teruja ke bazar Ramadan sehingga mengabaikan aspek penjarakan fizikal, tidak seperti tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau memuji pihak pengurusan bazar yang meletakkan penghadang laluan keluar masuk pada tahun ini sekali gus melancarkan pergerakan pengunjung.

“Setiap tahun memang saya akan datang ke bazar ini, dulu tiada laluan sehala keluar masuk pengunjung tetapi sekarang sudah ada. Satu inisiatif yang bagus,” katanya.

Najwa Diana Buang, 18, pula sempat singgah ke bazar berkenaan bagi membeli juadah berbuka sementara menunggu tamat waktu kerja.

Najwa Diana Buang. Foto ZAREEF MUZAMMIL

“Kalau ikutkan risau juga hendak ke bazar sebab orang terlalu ramai tetapi disebabkan rindu saya datang juga bersama kawan, lagipun dekat dengan tempat kerja.

“Saya harap pengunjung pandai jaga diri dan patuh SOP sebab kes Covid-19 masih tinggi. Kalau boleh manfaatkan peluang diberikan sebaiknya,” katanya.


Pengarang :