Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis (tengah) ketika merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Selangor di Pusat Beli-Belah Central I-City hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bomba: Purata lima kes kebakaran rumah sehari di Selangor sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Selangor merekodkan purata lima kes kebakaran rumah sehari sejak awal Ramadan ini, yang dipercayai berlaku atas faktor kecuaian dan kejadian litar pintas kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis.

Beliau berkata pihaknya mendapati kebanyakan kes kebakaran di rumah berlaku kerana penghuninya terlupa untuk menutup api dapur gas selepas memasak dan ketika memanaskan semula makanan serta tidak menutup suis peralatan elektrik selepas digunakan.

“Jadi saya ingin menasihatkan masyarakat sebelum balik kampung untuk berhari raya nanti, pastikan punca-punca elektrik dimatikan kerana kadang-kadang kita terlupa ada peralatan elektrik yang sentiasa diletakkan di dalam mod sedia,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kempen Keselamatan Musim Perayaan, di sini hari ini.

Selain itu beliau menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati menggunakan lampu-lampu hiasan raya memandangkan terdapat lampu yang dijual di pasaran tidak mendapat kelulusan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd. (SIRIM).

Dalam pada itu, Norazam berkata hanya seramai 20 peratus daripada lebih 1,600 pegawai dan anggota Bomba di Selangor dibenarkan bercuti pada musim Hari Raya Aidilfitri ini.

“Untuk musim perayaan kali ini, kita memberi tumpuan kepada sembilan kawasan panas (hot spot) di Selangor yang sering berlaku kemalangan dan juga meminta semua balai-balai untuk melakukan rondaan bagi memberikan bantuan seawal mungkin,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :