Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan untuk 492 masjid dan surau kepada Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad pada 9 April 2022. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Imarah Ramadan, Zakat Selangor agih RM2 juta kepada 492 masjid dan surau

SHAH ALAM, 10 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan berjumlah RM2 juta kepada 492 masjid dan surau sempena program Ihya Ramadan pada tahun ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata daripada jumlah itu, sebanyak 262 masjid menerima sumbangan sehingga RM5,000 manakala 230 surau menerima sehingga RM3,000 bagi menggerakkan aktiviti imarah sepanjang Ramadan.

“Masjid dan surau antara institusi yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak lebih dua tahun akibat penularan wabak Covid-19.

“Oleh itu manfaat daripada wang zakat diharap dapat membantu masjid dan surau menghidupkan lagi program keagamaan dalam komuniti setempat sepanjang bulan ini,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini di Facebook.

Majlis simbolik penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Mohd Sabirin kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)  Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad semalam.

Sebelum ini sebanyak RM28,637,750 diagih LZS kepada 62,769 asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri bermula 29 Mac lalu menerusi program bantuan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM9,063,050 diagih kepada 18,630 penerima asnaf fakir, RM18,250,400 untuk 39,955 asnaf miskin dan RM1,322,300 kepada 4,184 mualaf.


Pengarang :