Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan pada Karnival Mega Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Stadium Shah Alam pada 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas catat hasil RM300,000 dalam tiga hari

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Hampir RM300,000 hasil jualan diperoleh sepanjang tiga hari penganjuran Karnival Jualan Mega Prihatin Ehsan bermula Khamis lepas sempena perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata hasil jualan karnival itu akan dipulangkan semula dalam bentuk subsidi barangan kepada rakyat menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan.

Beliau berkata ini membolehkan rakyat membeli barangan keperluan seperti ayam pada harga RM12 seekor, telur (RM10 sepapan), minyak masak (RM2 sepeket), ikan (RM8 sepeket), daging lembu segar serta tulang masing-masing RM35 sekilo menerusi program berkenaan.

“Program Intervensi Harga Makanan Ehsan adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama PKPS bagi membantu dan memudahkan rakyat terutama golongan B40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Karnival Jualan Mega Prihatin Ehsan di Pandan Indah di sini. Turut hadir Exco Pemodenan dan Asas Tani Selangor Izham Hashim.

Mohamad Khairil berkata PKPS juga akan meneruskan inisiatif Jualan Ehsan On Wheels ke lokaliti-lokaliti ditetapkan berdasarkan perbincangan dengan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu seorang pengunjung Azim Ahmad, 32, berkata penganjuran karnival jualan itu membolehkannya membeli barangan keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan harga berpatutan.

“Sangat berbaloi sebab keluarga saya ramai jadi perlu beli banyak barang basah untuk Hari Raya. Di sini tak ada limit boleh beli berapa ekor ayam dan dengan harga yang murah, ini sangat membantu persiapan raya,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Rahmah Zakaria, 44, berkata karnival seperti itu perlu diteruskan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan terutama semasa musim perayaan kerana terdapat barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga.

Katanya beliau dapat menjimatkan perbelanjaan hampir 50 peratus dengan membeli barangan di karnival tersebut yang menawarkan harga lebih murah berbanding di pasar atau pasar raya.

-BERNAMA


Pengarang :