Kakitangan LUAS mencium sampel air bagi mengesan pencemaran bau di muka sauk LRA Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) pada 30 April 2022. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pencemaran berjaya ditangani, LRA Sungai Semenyih mula operasi 4 petang

SHAH ALAM, 30 APRIL: Pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir berjaya ditangani, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih juga telah mula beroperasi jam 4 petang tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bekalan air akan disalurkan secara berperingkat selepas tengah malam ini apabila kolam takungan stabil dan mempunyai bekalan air mencukupi.

“Pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Air Selangor bertungkus lumus menangani pencemaran dalam masa singkat. Lori dan jentera air turut bersedia dan akan digerakkan ke kawasan yang memerlukan,” katanya menerusi Facebook.

LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sementara jam 12.15 tengah hari tadi susulan pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Senarai lengkap kawasan terjejas dimuatkan di Facebook Air Selangor.

 


Pengarang :