Orang ramai membeli barang keperluan asas ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 28 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah dapat sambutan, 1.5 tan daging habis dalam tempoh sejam

KUALA LANGAT, 28 APRIL:  Sebanyak 1.5 tan daging segar habis dijual dalam tempoh sejam pada Jualan Prihatin Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat di Dataran Pantai Batu Laut di sini, hari ini.

Pengurus Kanan Pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata jualan ayam dan telur murah juga hampir habis dijual dalam tempoh yang sama selepas gerai dibuka mulai jam 10 pagi.

Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Mohd Fazir Abdullah. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini adalah program kali kedua di lokasi ini di mana kita tambah tiga kali ganda barangan jualan dan sambutan juga meningkat berganda hingga barangan cepat terjual.

“Jika sebelum ini hanya 200 orang sahaja yang hadir bagi keseluruhan program tetapi hari ini dalam tempoh sejam sahaja 400 orang,” kata Mohd Fazir Abdullah kepada SelangorKini.

Beliau berkata dengan kehadiran pengunjung yang ramai pihaknya yakin semua barangan habis dijual.

“Kita sasar RM100,000 hasil pendapatan kita di setiap program jualan dan kita yakin nilai jualan ini mampu dicapai,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat yang dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kg daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Orang ramai membeli barang keperluan asas ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 28 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :