Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kiri) menerima cek cura bernilai RM100,000 daripada Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Norita Mohd Sidek (tiga kanan) untuk diagihkan kepada mangsa tanah runtuh Taman Bukit Permai 2 di Dewan MPAJ Cheras Baru, Ampang pada 16 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri serah sumbangan RM135,000 kepada mangsa tanah runtuh Taman Bukit Permai

AMPANG, 16 APRIL: Seramai 91 keluarga mangsa insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 1 dan 2 menerima sumbangan wang tunai membabitkan peruntukan RM135,000.

Dato’ Menteri Besar berkata RM100,000 disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI manakala RM35,000 lagi daripada Tabung Bencana Negeri.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari sumbangan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dua minggu lalu.

Katanya, bantuan itu disalurkan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera serta penduduk yang rumah mereka terjejas.

“Bagi mangsa yang meninggal dunia, waris mereka akan menerima RM10,000 manakala penduduk cedera dan kediaman rosak masing-masing memperoleh RM5,000.

“Penduduk di 70 buah rumah yang diarah dikosongkan menerima saguhati RM500.

“Kerajaan Negeri berharap sumbangan ini dapat meringankan beban semua mangsa,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan bantuan kepada mangsa di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Cheras Baru di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, kesemua mangsa turut menerima sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) sebanyak RM26,400 dan Lembaga Zakat Selangor berjumlah RM20,000.

Kejadian tanah runtuh pada 11 Mac lalu di Taman Bukit Permai 2, Ampang telah meragut empat nyawa dan seorang mangsa cedera selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.


Pengarang :