Ketua Pembangkang merangkap ahli parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ketua pembangkang usul bentang akta antilompat parti hujung Mei

SHAH ALAM, 11 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dibentang sebelum akhir Mei nanti.

Ketua pembangkang berkata tindakan itu membolehkan pindaan penggubalan RUU hari ini dibentang bersama RUU Antilompat Parti dan berharap perdana menteri mempersetujui perkara tersebut.

“Ini membolehkan kita tahu maksud khusus pindaan ini berlaku, supaya Yang Berhormat akan mendapat kepastian yang dimaksudkan dengan pindaan ini, yang kita tahu adalah dengan menterjemahkannya dalam RUU Antilompat Parti.

“Saya harap jawatankuasa yang berkenaan segera bermesyuarat dan mencari kesepakatan supaya dapat dibentang, dibahas dan diluluskan secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata kerajaan menyasarkan RUU Antilompat Parti dibentang pada sesi Parlimen Julai ini.

Jelasnya, kerajaan tidak berniat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan akta itu, namun beberapa perkara perlu diselesaikan termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang dibentangkan hari ini.

Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata akta terbabit perlu diluluskan memandangkan tindakan ramai ahli politik lompat parti dalam tempoh beberapa tahun ini.

Jelasnya, perkara itu memberi kesan kepada kestabilan politik selain menyebabkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Ada rakyat mual dengan kegelojohan orang politik yang sanggup khianati amanah semata-mata terpengaruh dengan janji sogokan dan kedudukan.

“Dengan keputusan ini (lulus) kita dapat yakinkan mereka. Kita pulihkan semangat untuk pilih calon yang tak khianat amanah sekali gus memperkukuhkan sistem demokrasi,” katanya.


Pengarang :