Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media ketika sesi sidang media khas Karnival Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

PKPS catat perolehan cecah RM3 juta melalui program jualan murah

SHAH ALAM, 24 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat hasil jualan hampir RM3 juta melalui Program Intervensi Ehsan sejak dimulakan Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata angka itu berdasarkan jualan barangan asas seperti ayam, ikan, daging, telur dan sayur-sayuran di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ketika isu harga sayur-sayuran melonjak naik, kita bawa barang segar dari ladang Selangor Fruit Valley (SFV) dan PKPS untuk dijual pada harga lebih rendah kepada orang ramai.

“Program ini berterusan sehingga hari ini melalui premis PKPS, lori bergerak dan kawasan terpilih. Setiap hari kita berjaya memperoleh jualan lebih kurang RM15,000 malah jumlahnya lebih tinggi pada hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13 di sini yang turut dihadiri EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim.

Dr Mohamad Khairil turut memaklumkan hampir 50,000 penduduk Selangor mendapat manfaat menerusi program berkenaan setakat ini.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat agar memanfaatkan program jualan yang akan berlangsung mulai esok sehingga 2 Mei di 29 lokasi

“Saya mempelawa orang ramai supaya datang dan beli barang keperluan hari raya dengan kadar murah yang tidak diperoleh di tempat lain.

“Rugi jika mereka tidak mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri dan PKPS,” katanya.


Pengarang :