Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sky Mirror, Wet World antara pakej pelancongan terlaris dalam pameran Matta

SHAH ALAM, 13 APRIL: Sebanyak 500 pakej pelancongan Selangor bernilai RM56,687 terjual pada Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan (Matta Fair) hujung minggu lalu.

Tiga lokasi mendapat sambutan ramai ialah Sky Mirror di Kuala Selangor, Windlab Indoor Skydiving, Petaling Jaya dan WetWorld Shah Alam, menurut ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor.

“Kita menjangka kedatangan pelancong domestik ke negeri ini meningkat dengan hasil jualan melalui pameran yang dilaksana bulan ini termasuk September nanti,” kata Azrul Shah Mohamad.

“Sebagai badan pelancongan, kita akan mengambil peluang untuk merancakkan lagi promosi melalui penyertaan dan penganjuran siri jelajah domestik sepanjang tahun ini.”

Jelasnya, promosi lain meliputi Jelajah Pusing Selangor Dulu di Johor, Kedah dan Sabah, Festival Fotografi Antarabangsa Selangor dan Skuad Pusing Selangor Dulu Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Sementara itu, Azrul Shah berkata lebih 20,000 pengunjung melawat rerurai Pavilion Tourism Selangor sepanjang dua hari pameran di Pusat Dagangan Dunia (PWC) Kuala Lumpur.

“Walaupun negara beralih ke fasa endemik, penganjur masih mengikut tatacara operasi piawai (SOP). Mereka juga didedahkan berhubung ekopelancongan, produk baharu dan sedia ada,” katanya.


Pengarang :