Pengasas dan Pengarah Urusan Bayu Somerset, Diana Kamalul menyusun pakaian di The Fashion Journal Setia City Mall, Shah Alam pada 7 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Usahawan pakaian teruja dapat pasarkan produk di pusat beli-belah

SHAH ALAM, 8 APRIL: Pemilik Bayu Somerset tidak menyangka dapat memasarkan produk secara fizikal menerusi ruangan kedai The Fashion Journal di Pusat Beli Belah Setia City di sini.

Usahawan terbabit Diana Kamalul, 29, berkata produk jualannya, baju kurung kedah dan kebaya pada peringkat awal hanya dipasarkan secara dalam talian sejak Mei tahun lalu.

“Ketika itu, saya masih betugas sebagai pegawai di sebuah bank dan mengambil keputusan drastik untuk berhenti kerja semata-mata untuk berniaga.

“Alhamdulillah, apabila diberi peluang memasarkan produk secara fizikal saya bersyukur kerana sebelum ini ramai juga pelanggan mahu datang ke kedai,” katanya kepada SelangorKini.

Diana Kamalul. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, sempena Aidilfitri ini beliau mengeluarkan beberapa koleksi khas kepada pelanggan.

“Kami menawarkan rekaan baju kurung kedah, kebaya dan beberapa lagi dengan jenis kain yang selesa dipakai selain harga berpatutan bermula RM99.

“Mereka boleh datang The Fashion Journal untuk melihat sendiri produk keluaran Bayu Somerset yang turut menampilkan koleksi premium,” katanya.

Selain Bayu Somerset, The Fashion Journal yang terletak di aras UG-135 turut menampilkan enam jenama usahawan tempatan iaitu LOCKA, UMMA, Binwanis, NITA, SYEDEWA dan Oh Apong.


Pengarang :