ADN Kota Kemuning V Ganabatirau menyerahkan cek sumbangan Ramadan kepada wakil masjid, surau, persatuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di Masjid Al-Faizin, Seksyen 27 pada 21 April 2022. Foto V Ganabatirau
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat Kota Kemuning belanja RM56,000 laksana pelbagai aktiviti Ramadan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Sebanyak RM56,000 dibelanja bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan tahun ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning.

Ahli Dewan Negerinya V Ganabatirau berkata dana tersebut disalur kepada 33 surau dan tujuh masjid bagi penganjuran majlis berbuka puasa bersama masyarakat setempat.

“Selain itu, kita mengadakan program mengacau bubur lambuk bersama surau dan pihak rukun tetangga untuk diagih kepada penduduk.

“Malah, hari ini (semalam) kita turut mengadakan program berbuka puasa di Putra Height menggunakan peruntukan tersebut,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau menambah bantuan makanan asas juga diedar kepada 380 keluarga kurang berkemampuan (B40) sejak awal Ramadan melalui ahli majlis dan ketua kampung.

“Sebenarnya agihan barangan keperluan asas ini tidak terhad pada musim perayaan sebaliknya dilaksanakan sejak negara dilanda pandemik Covid-19.

“Kita sedar ramai keluarga mengalami kesempitan hidup ketika itu, apatah lagi Selangor dilanda banjir luar biasa pada Disember tahun lalu dan Kota Kemuning antara lokasi paling teruk terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Ganabatirau yang juga EXCO Kerajaan Prihatin turut memaklumkan agihan baucar beli-belah sempena Aidilfitri sebanyak RM100 selesai diagih kepada keluarga terpilih.


Pengarang :