Pengguna menunjukkan aplikasi bayaran parkir digital Smart Selangor Parking (SSP) ketika tinjauan di Taman TTDI Jaya, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Individu tiada aplikasi boleh bayar melalui ejen kupon parkir digital

SHAH ALAM, 29 APRIL: Individu tidak mempunyai aplikasi parkir kereta Smart Selangor Parking (SSP) dan FlexiParking di Kuala Selangor boleh membuat pembayaran secara digital melalui ejen GoPayy berdaftar.

Menurut Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), kaedah pembayaran yang turut dikhas untuk individu tiada telefon pintar dan tidak mahir menggunakan teknologi e-dompet itu bermula sejak 1 April lalu.

“Penggunaan kupon digital ini amat mudah, pantas dan selamat selain mudah didapati melalui ejen berdaftar yang sah di seluruh Selangor.

“Pengguna tidak perlu menggores kupon dan mempamer di atas papan pemuka kenderaan selepas pembelian serta tidak perlu menggores banyak kupon dalam satu-satu masa,” katanya menerusi Facebook.

 

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menambah melalui GoPayy yang dikendalikan Suasa Efektif (M) Sdn Bhd (Suasa Efektif), pengguna hanya perlu memberikan nombor pendaftaran kenderaan kepada ejen dan bayaran boleh dibuat mengikut tempoh masa dikehendaki.

Jelasnya, pengguna juga boleh menjejak dan mengawal perbelanjaan manakala data serta rekod pembelian disimpan secara automatik dalam sistem.

“Dapatkan Kupon Digital GoPayy anda melalui ejen berdaftar berdekatan,” katanya.

Sebelum ini, ketua pegawai eksekutif Suasa Efektif berkata lima PBT di negeri ini menggunakan kaedah pembayaran tersebut mulai bulan ini iaitu Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Bandaraya Shah Alam dan MPKS.

Dr Zainuddin Othman berkata ia termasuk Majlis Perbandaran Sepang yang menjadi PBT pertama menggunakan aplikasi berkenaan sejak Oktober tahun lalu.

Bayaran parkir kereta di seluruh PBT Selangor dilaksana secara e-kupon sepenuhnya berkuat kuasa 1 April menggunakan SSP.

Orang ramai digalak memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store bagi memudahkan urusan pembayaran.


Pengarang :