Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Kuala Selangor pada 23 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat rancang anjur program jualan murah, bantu penduduk Permatang berjimat

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang bercadang menganjurkan program jualan murah barangan keperluan asas setiap dua bulan sekali melalui kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Rozana Zainal Abidin berkata inisiatif tersebut bagi meringankan beban penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) itu susulan kenaikan harga barangan di pasaran.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu bersama agensi berkaitan selain beberapa pihak sebelum dimuktamadkan.

“Kita cadang laksanakan sendiri program mendekati rakyat seperti ini supaya mereka dapat menikmati harga barangan lebih murah namun jika Kerajaan Negeri anjurkan sendiri lagi bagus, memadai setiap dua bulan sekali.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Rozana Zainal Abidin bercakap kepada Media Selangor ketika Program Jualan Prihatin Rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Kuala Selangor pada 23 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun kita cuba bekerjasama dengan PKPS kerana rakyat sememangnya menantikan program sebegini. Pada masa sama, mereka dapat berbelanja secara berhemah dan boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan lain,” katanya ketika ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat hari ini.

Rozana berkata program berlangsung di pekarangan pusat khidmat masyarakat (PKM) DUN Permatang di sini menerima kehadiran pengunjung yang memberangsangkan selepas hebahan dibuat di platform media sosial sejak minggu lalu.

“Alhamdulillah, kita uar-uarkan sebaik PKPS maklumkan akan mengadakannya. Ini membuktikan maklumat dibuat melalui infografik dan kumpulan WhatsApp sampai kepada rakyat.

“Saya sangat mengharapkan agar ia diteruskan. Kita melihat program ini sebenarnya membantu rakyat berjimat kerana harga produk seperti ayam, telur dan daging diberi subsidi oleh Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :