Ziana Zain (tiga, kanan), Elyana (dua, kiri), Roy (empat, kanan) Haziq (kiri), Sissy Imann (kanan) dan Jamilah Abu Bakar (dua, kanan) menjalani latihan ketika sesi raptai Senandung Aidilfitri di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam, pada 30 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ziana Zain, Sissy Imann serikan Senandung Aidilfitri 2 Syawal

SHAH ALAM, 14 APRIL: Gabungan artis lama dan baharu menyerikan program Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri yang bakal disiarkan pada hari kedua Syawal, jam 9 malam.

Ziana Zain dan Roy Alwi antara artis popular sekitar 80-an dan 90-an manakala pendatang baharu pula dibarisi Sissy Imann, Elyana Emrizal dan Haziq Rosebi.

Sissy bersama Bell Ngasri, Azlee Senario dan Raja Azura juga menjayakan sketsa bertema bantuan banjir, gelagat raya dan makanan tradisi masyarakat Jawa seperti nasi ambeng.

Pengacara dan pelakon Raja Azura (kanan) dan Bell Ngasri (tengah) serta Azlee Senario (kiri) melakukan rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurut Ziana, penonton tidak harus melepaskan peluang menyaksikan persembahan mereka yang turut dibantu penghibur daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) pada program dalam talian itu.

“Senandung Aidilfitri tahun ini pastinya mempunyai kelainan sendiri, jadi jangan lupa tonton di SelangorTV,” katanya yang membawakan lagu ‘Indahnya di Hari Raya’ pada program itu.

Haziq pula menyifatkan undangan menjayakan program itu membantu golongan artis selepas melalui kesukaran ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ketika pandemik banyak persembahan kami terpaksa dibatal, sudah tentu menjejaskan pendapatan,” katanya.

Disiar di portal selangortv.my dan media sosial, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat PKP.


Pengarang :