EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han dan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir menyampaikan duit raya kepada anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Keramat, Kuala Lumpur sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 Mei 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

1,200 tetamu hadir Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM

SHAH ALAM, 23 MEI: Rumah Terbuka Aidilfitri KDEB Waste Management (KDEBWM) berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran kira-kira 1,200 pengunjung.

Mereka terdiri daripada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), wakil rakyat negeri, datuk bandar, yang dipertua, pemegang taruh, agensi termasuk kakitangan dan sub kontraktor KDEBWM.

Pengarah urusannya berkata acara dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini sebagai medan megeratkan silaturahim selepas dua tahun tidak bersama akibat pandemik Covid-19.

“Syawal kali ini sangat bermakna kerana sudah dua tahun kita beraya dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat, apatah lagi tidak dapat berjumpa dan berkumpul bersama mereka.

“Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada semua yang sudi hadir memeriahkan majlis terutama pihak terbabit dalam industri pembersihan dan pengurusan sisa pepejal di Selangor,” katanya ketika ditemui.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM Ng Sze Han, EXCO Perumahan Rodziah Ismail dan EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian serta Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Tetamu disajikan dengan aneka juadah antaranya nasi beriani, lemang, rendang, sate, kek lobak goreng, kambing bakar, apam balik dan pelbagai kuih-muih.

Dalam majlis itu, KDEBWM turut meraikan seramai 30 anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul AlFaeez, Keramat, Kuala Lumpur selain mengagihkan duit raya.

“Kita sentiasa meletakkan kebajikan sebagai tunjang utama dengan mengembalikan apa yang kita dapat kepada individu memerlukan seperti anak yatim, asnaf fakir dan miskin, ibu tunggal serta warga emas.

“Ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kerana di sebalik keseronokan beraya, kita tidak mahu golongan ini dipinggirkan,” katanya lagi.

 


Pengarang :