Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 15 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar gesa SPRM bongkar kes seleweng dana era pandemik

SHAH ALAM, 25 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar penyelewengan dana yang dibuat ketika negara berdepan pandemik dua tahun lalu.

Ketua pembangkang menjelaskan sikap tegas terhadap rasuah dan salah guna kuasa merupakan cerminan integriti masyarakat yang tinggi selain tidak boleh dikompromi sama sekali.

“Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah.

“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Anwar turut menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berhubung usaha membawa pulang dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Azam mendedahkan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan terpalit rasuah ketika Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Jelasnya, SPRM telah membuka beberapa siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan dan pakej rangsangan.

Selain itu, katanya, siasatan turut membabitkan penipuan berkaitan kuantiti dan kualiti rendah alatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka dan sarung tangan.


Pengarang :