Seorang pelajar Ahmad Iman Zulkifli menunjukkan simbol pangkah bermaksud ‘tidak’ kepada buli selepas pelancaran Kempen Anti Buli Sekolah-Sekolah Berasrama Peringkat Negeri Pahang pada 28 Februari 2018. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bukit Aman: 38 kes buli dilaporkan di sekolah sejak Januari

SHAH ALAM, 24 MEI: Sebanyak 38 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari, menurut Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayahnya berkata lapan kes direkodkan Pahang, Terengganu (tujuh) sementara Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing empat kes, lapor Sinar Harian.

Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan Selangor pula mencatatkan tiga kes, manakala Johor, Kedah, Kuala Lumpur dan Perlis masing-masing dua kes.

“Polis mengalukan apa jua maklumat yang boleh dikongsi bersama bagi menjadikan sekolah tempat selamat buat pelajar menuntut ilmu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk mengambil berat kes buli selain pemantauan pihak sekolah dalam menentukan disiplin pelajar supaya sentiasa terpelihara.

Kementerian Pendidikan sebelum ini menegaskan tidak akan berkompromi dengan pentadbiran atau pengurusan mana-mana sekolah yang cuba menyorokkan kejadian buli bagi menjaga imej institusi itu.

 


Pengarang :