Pengarah Urusan Embun Persona Niaga, Mahmud menunjukkan arnab daging dipeliharanya ketika ditemu bual Media Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Cemuhan dorong penganggur berniaga, dari roti hingga arnab perap

Mahmud Mastam tahu dirinya menjadi buah mulut jiran. Memang sedih apabila dikatakan makan duit isteri. Apakan daya mulut orang susah ditutup. Beliau memilih untuk memekakkan telinga.

Sebenarnya, Mahmud hilang pekerjaan semasa ekonomi gawat 24 tahun lepas, menyebabkannya menjadi umpatan jiran. Namun, cemuhan itu mendorongnya tekad untuk menebus maruah.

Dengan bermodal penyata gaji isteri, Mahmud membeli mesin pengadun dan ketuhar pembakar secara ansuran, sekali gus memulakan perusahaan roti dan kek sendiri pada 2002.

Berkat kegigihan selama 20 tahun, produk berasaskan roti kini bertambah kepada 10 jenis. Beliau juga menghasilkan produk makanan lain seperti arnab perap, sambal geprek, makanan sejuk beku dan pelbagai biskut.

Mahmud, 47, dengan bantuan isteri Siti Rizana Mohd Rafie, 46, turut mengusahakan perkhidmatan penyediaan makanan, menjual daging kambing dan arnab daging. Sejak itu, tiada lagi tohmahan makan duit isteri.

“Apabila semua orang tahu saya buat roti berniaga di rumah, ada jiran datang meminta maaf kerana salah sangka.

“Perkara sudah lepas. Dia pun menyesal dan saya maafkan,” kata penerima anugerah Usahawan Sukses Hijrah itu ketika dikunjungi Selangorkini di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam baru-baru ini.

Pengarah Urusan Embun Persona Niaga, Mahmud Mastam ketika ditemu bual Media Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tiada pengalaman

Sejak menerima skim pemisahan sukarela (VSS) kilang membuat bas akibat kegawatan ekonomi pada 1998, tugas beliau menghantar dua anak ke sekolah dan isteri ke tempat kerja.

Pampasan hanya RM10,000. Ditolak hutang, tinggallah sedikit belanja untuk keluarga. Beliau banyak terperap di rumah lalu mencetuskan cakap-cakap kurang enak.

Sebenarnya, Mahmud mempelajari cara membuat roti dan kek berpandu buku resipi kelas memasak yang disertai isteri. Tidak mudah. Entah berapa kali mencuba, usaha Mahmud masih belum menjadi. Hinggalah pada suatu petang, isterinya menyedari tepung di dapur cepat habis.

“Apa pasal tepung habis? Mana pergi? Saya berterus terang dan akhirnya isteri ajar cara buat roti,” katanya.

Selepas itu, beliau menghasilkan roti piza dan kek cawan untuk dipasarkan ke tiga kantin sekolah sekitar Shah Alam. Mulanya hasil jualan tidak seberapa, namun dapat menampung perbelanjaan persekolahan anak dan sedikit keperluan dapur serta modal pusingan.

Mesin pengadun dan ketuhar pembakar yang dimiliki hanya mampu menghasilkan 150 roti sehari. Beliau mahu menambah pengeluaran dengan peralatan berkapasiti besar supaya lebih banyak roti dihasilkan.

Usahanya mendapat perhatian Jabatan Pertanian Selangor yang menyumbang mesin pengadun dan ketuhar pembakar berkapasiti besar pada 2000.

Sejak itu, mereka berupaya memenuhi permintaan. Dalam tahun sama, Siti Rizana berhenti kerja bagi membantu Mahmud. Mereka juga mengambil tujuh pekerja bagi melancarkan operasi.

Pengarah Urusan Embun Persona Niaga, Mahmud Mastam menunjukkan produk keluarannya ketika ditemu bual Media Selangor di Jalan Kebun, Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selain Jabatan Pertanian Selangor, pemilik syarikat Embun Pesona Niaga itu turut mendapat pinjaman Yayasan Hijrah Selangor sebanyak empat kali pada 2016 (RM3,000), 2017 (RM9,000), 2018 (RM40,000) dan 2020 (RM50,000).

“Rekod prestasi bayaran semula Hijrah Selangor baik. Sebab itulah mereka sedia beri pinjaman berkali-kali.”

Tambah produk

Mahmud perlahan-lahan mengembangkan perniagaan dengan menambah produk seperti sambal geprek, pelbagai kuih sejuk beku, biskut Mazola dan daging kambing.

Selain itu, Mahmud dan isteri meraih tender menyediakan makanan untuk kenduri dan membekal makanan ke tiga asrama tahfiz sekitar Selangor serta pusat latihan dan motivasi di Shah Alam.

Pada 2020, beliau memulakan perniagaan arnab perap dan kini mempunyai kira-kira 100 ekor arnab diternak di belakang rumah.

Hasil titik peluh Mahmud dan Siti Rizana, suami isteri berkenaan memperoleh antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan. Pendapatan pasangan tiga cahaya mata itu membolehkan mereka membeli rumah dan membina kilang kecil bersebelahannya.


Pengarang :