EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) menyerahkan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Anis) kepada salah seorang penerima di Hotel Acapella, Shah Alam pada 21 April 2022. Foto Facebook ANIS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Lebih 2,000 mohon bantuan khas anak istimewa, tarikh tutup 31 Mei

SHAH ALAM, 28 MEI : Sebanyak 2,716 permohonan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor  (Anis) diterima setakat ini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata sambutan diterima amat memberangsangkan meskipun permohonan bantuan tersebut baru sahaja dibuka pada 17 Mei lalu.

“Permohonan bantuan dibuka sehingga 31 Mei. Kita akan dahulukan individu yang belum pernah terima bantuan atau mereka yang mempunyai bilangan anak istimewa lebih daripada satu selain melihat latar belakang mereka.

“Memandangkan ramai yang memohon, insya-Allah peruntukan akan datang kita akan minta lebih lagi bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaat program ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Suai Kenal Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) dan Jaringan Bersama Alumni AKW di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Permohonan Anis boleh dibuat  dalam talian  mulai 17 hingga 31 Mei melalui laman sesawang www.anisselangor.com.

Bantuan Anis diberikan secara sekali bayar dengan had maksimum sehingga RM5,000 bagi satu keluarga dan terbuka kepada anak istimewa berumur 18 tahun ke bawah.

Objektif utama bantuan untuk meringankan tanggungan kos terapi, pemulihan, pendidikan dan sara hidup (makanan tambahan/ubat-ubatan) bagi anak istimewa yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

 


Pengarang :