Orang ramai membeli barang keperluan asas di Karnival Jualan Mega Rakyat di Dataran Puchong Permai, Subang Jaya pada 1 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan ayam murah fasa tiga bermula esok di DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 12 MEI: Program Jualan Prihatin Rakyat fasa tiga diteruskan mulai esok dengan lokasi pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Program berlangsung di parkir Masjid Al Bakri Bukit Naga dari 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi membantu penduduk mendapat keperluan sepanjang Syawal.

Menurut Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), empat produk utama yang dijual ialah ayam, ikan, daging dan telur selain beberapa keperluan lain.

“Kita akan anjurkan program dengan lebih kerap dan melibatkan banyak lokasi bagi memastikan penduduk tidak terbeban ketika berbelanja,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi ketika dihubungi.

Sebelum ini, PKPS memaklumkan program jualan murah diteruskan selepas sambutan Aidilfitri bagi membantu rakyat mendapatkan barangan segar pada harga murah.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 perpek).

Kerajaan Selangor melancarkan program itu sejak 28 Februari dan turut melaksanakan jualan besar-besaran melibatkan lebih 20 lokasi pada 25 April hingga 1 Mei sempena Aidilfitri.

 


Pengarang :