Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar (dua, kiri) memberi duit raya kepada anak-anak kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MBSJ 2022 di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 13 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Lebih 2,000 meriahkan rumah terbuka Aidilfitri MBSJ

SUBANG JAYA, 13 MEI: Sambutan Aidilfitri Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu jemputan.

Selain kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, acara diadakan di ibu pejabatnya turut disertai mantan Datuk Bandar, ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, ahli majlis, ketua jabatan, agensi dan rakan sinergi.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata tradisi kemeriahan lebaran diteruskan seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik, namun mengekalkan tatacara operasi piawai (SOP).

“Alhamdulillah setelah dua tahun tidak dapat dianjur akibat Covid-19, rumah terbuka sempena Aidilfitri kembali diadakan untuk meraikan pihak berkaitan.

“Acara seperti ini merupakan wadah terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja, rakan media dan pemegang taruh di bawah pentadbiran MBSJ,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar bercakap kepada media ketika majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2022 di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 13 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebanyak 20 gerai makanan dan minuman dengan aneka juadah disediakan antaranya kambing bakar, sate, roti john, nasi beriani ayam masak merah, ketupat dan lemang.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan raya oleh warga kerja MBSJ selain penyampaian duit raya dan baucar McDonalds kepada anak kakitangan.

Dalam pada itu, Johary berkata tetamu yang hadir membawa bekas makanan dan minuman sendiri selain tiada penggunaan plastik sekali guna serta polisterina manakala sisa sampah diasing mengikut tong disediakan.

“Usaha ini untuk memastikan kelestarian alam sekitar kekal terjaga dalam mewujudkan persekitaran bandar hijau yang lebih berkualiti sekali gus menyokong strategi Pelan Bandar Hijau MBSJ 2030,” katanya.


Pengarang :