Sukarelawan Yayasan ROSE menunjukkan kit ujian PCR HPV ketika program Ujian PCR HPV Percuma Untuk Saringan Kanser Pangkal Rahim di Dewan Komuniti MBPJ Damansara Damai, Petaling Jaya pada 13 Februari 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 2,000 penduduk B40 Pandamaran disasar sertai saringan kesihatan percuma

SHAH ALAM, 18 MEI: Lebih 2,000 penduduk kurang berkemampuan (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran disasar mendapat manfaat melalui program Selangor Saring.

Ahli Dewan Negerinya berkata program saringan kesihatan percuma pada 23 Julai di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang menumpukan penghuni Pangsapuri Pandamaran, Pangsapuri Bunga Raya, Pangsapuri Taman Chee Leong, Pangsapuri Seri Angkasa dan Pangsapuri Seri Bayu, kata wakil rakyatnya.

“Tumpuan diberi kepada golongan B40 dulu kerana senarai nama sudah ada, namun tidak menghalang penduduk lain untuk turut serta pada hari berkenaan yang dilangsungkan serentak dengan DUN Pelabuhan Klang.

“Kita akan jumpa ketua kampung dan melawat dari rumah ke rumah untuk menggalak penduduk turut serta kerana penting untuk buat pemeriksaan awal,” kata Tony Leong Tuck Chee ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sekiranya melebihi kuota atau terlepas peluang, penduduk akan diarah menyertai program sama di DUN lain.

“Jika tidak sempat, mereka juga boleh ke saringan di DUN Sungai Kandis atau Sentosa kerana bukan semua akan datang. Apatah lagi pangsapuri berkaitan turut didiami warga asing dan fokus kita adalah warga tempatan,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program Selangor Saring yang menumpukan saringan penyakit seperti jantung, kencing manis, kanser dan glaukoma.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) mulai 16 Mei.


Pengarang :