Nurul Amira Suhaimi, 27, mendapatkan bekalan minyak masak di sebuah pasar raya di Seksyen 9, Shah Alam pada 9 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Hanya minyak masak campuran naik harga, tidak dikawal AKHAP 2011

PUTRAJAYA, 11 MEI: Minyak masak yang dilaporkan mengalami kenaikan harga sehingga RM10 bagi botol lima kilogram (kg), tidak dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana ia adalah kategori minyak masak campuran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata minyak masak yang didakwa berlaku peningkatan harga seperti dilaporkan, melibatkan jenama Knife dan Red Eagle yang tidak berada dalam kategori kawalan perundangan AKHAP 2011.

“Ini kerana, ia kategori ‘minyak masak campuran’, bukan ‘minyak masak tulen’,” katanya dalam ciapan di Twitter rasmi beliau hari ini berhubung dakwaan harga minyak masak melambung.

Menurut laporan harga minyak masak sebatian lima kilogram cap Red Eagle dan Knife dikatakan kini RM45 berbanding harga sebelum pandemik Covid-19 sekitar RM30 hingga RM35.

Menurut Nanta berkuat kuasa 1 Ogos lepas, harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen yang dijual dalam botol ialah RM29.70 bagi 5kg; RM18.70 ( 3kg); RM12.70 ( 2kg) dan RM6.70 bagi sekilogram.

Nanta dalam pada itu berkata peniaga bagaimanapun, tidak boleh sesuka hati ‘main’ harga minyak masak campuran di pasaran.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat mengikut AKHAP, berdasarkan asas mencatut.

Beliau berkata notis kepada premis akan dibuat mengikut Seksyen 21 AKHAP dan sekiranya wujud unsur pencatutan, tindakan perundangan boleh diambil mengikut Seksyen 14(1) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda hingga RM500,000 sekiranya perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata penguat kuasa KPDNHEP sudah dalam makluman berhubung kes berkenaan dan sedang dalam tindakan selanjutnya.

– BERNAMA


Pengarang :