Calon Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Juwairiya Zulkifli beramah mesra dengan orang ramai yang hadir dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Batu pada 15 Mei 2022. Foto pejabat DUN Bukit Melawati
AGENDANASIONAL

Pilih calon tahan uji, banyak pengalaman hadapi PRU

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 15 MEI: Ahli parti disaran memilih calon berpengalaman dalam pemilihan kali ini sekali gus mempunyai keupayaan memimpin untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Calon Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Juwairiya Zulkifli berkata fokus parti adalah untuk memenangi PRU, justeru pemilihan pemimpin terbaik amat penting untuk memperkukuhkan usaha itu.

“Kita harus fokus menang pilihan raya, pilih lah barisan pimpinan terbaik dan yang ada pengalaman untuk masuk perang…masuk pilihan raya nanti.

“Pemilihan kali ini bukan hanya sekadar cuba-cuba, kita harus yakin dengan pimpinan yang ada pengalaman, pemimpin yang sudah terbukti dan teruji,” katanya berucap dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat Parlimen Batu, malam tadi.

Program tersebut turut dihadiri Dato’ Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati turut meminta seluruh ahli parti supaya bersaing secara sihat sepanjang proses pemilihan.

“Pemilihan kali ini sengit antara adik-beradik, ini adalah pemilihan keluarga. Jangan cemarkan dengan fitnah dan cacian makian kerana kita adalah saudara, kita satu pasukan.

“Jangan sekali hilang hormat kepada orang lama, orang yang makan garam terlebih dahulu. Perkara ini harus kita hormati, pilihlah yang terbaik dalam kalangan yang baik-baik,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal mempertahankan kerusi presiden KEADILAN apabila menang tanpa bertanding pada pemilihan parti bagi tempoh 2022-2025

Jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan antara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pula antara 18 calon menawarkan diri merebut jawatan naib presiden. Calon lain antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Wanita Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ketua Wanita Selangor Rodziah Ismail dan Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek bertanding kerusi ketua wanita manakala jawatan ketua AMK menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

 

 


Pengarang :