Laman rumah salah seorang penduduk di Hulu Selangor dinaiki air selepas hujan lebat lebih tiga jam melanda daerah itu pada 16 Mei 2022. Foto Facebook Pejabat Penerangan Hulu Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pusat pemindahan ditutup, semua mangsa banjir Hulu Selangor dibenar pulang

SHAH ALAM, 17 MEI: Kesemua 24 mangsa daripada enam keluarga terjejas banjir di Hulu Selangor ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerling malam tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri berkata kebenaran itu selepas mendapat nasihat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil kira situasi semasa di penempatan penduduk yang semakin beransur pulih.

“PPS berkenaan ditutup 5 petang tadi dan semua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing.

“Banjir semalam hanya beberapa jam manakala air surut kira-kira 7 malam. Alhamdulillah, cuaca sepanjang hari ini juga baik,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau yang juga pegawai daerah Hulu Selangor berkata kerja pembersihan rumah mangsa giat dijalankan oleh sukarelawan Team Selangor, Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Hujan lebat lebih tiga jam di beberapa daerah di negeri ini bermula 12 tengah hari semalam menyebabkan banjir kilat di Hulu Selangor.

Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu serta perumahan Taman Serendah Makmur.


Pengarang :