Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Pelancaran Gagasan #KITASEMUAKEADILAN di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya pada 7 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Rancangan Selangor Satu bangunkan ekonomi rakyat, dibentang Julai

SHAH ALAM, 8 MEI: Rancangan Selangor Satu dirangka bagi menjayakan agenda sosioekonomi rakyat berasaskan kerajaan penyayang yang berkesan dan berwibawa, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pelan komprehensif lima tahun itu penting berdasarkan pengalaman Kerajaan Negeri menangani pandemik yang menjejaskan pelbagai sektor.

“Pandemik ini memaksa kita memikir dan melihat semula kesenjangan ekonomi dan kesannya terhadap golongan kurang mampu.

“Insya-Allah, Rancangan Selangor Satu akan dibentang di Dewan Negeri Selangor pada sidang Julai ini,” katanya berucap di majlis pelancaran Gagasan #kitasemuaKEADILAN di sini semalam.

Selain itu, Amirudin berkata pelbagai program berteras kebajikan rakyat juga rancak dijalankan selain pengenalan program Bantuan Keluarga Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menyediakan bantuan RM300 sebulan.

Beliau menambah inisiatif Iltizam Selangor Sihat dan Saringan Selangor Sihat pula membantu rakyat untuk membuat saringan kesihatan bagi penyakit kritikal secara percuma.

“Saya akan memulakan Jelajah Selangor Penyayang pada Jun ini merentasi daerah-daerah bagi bertemu rakyat Selangor, merasmikan program baru ini serta menyampaikan bantuan bagi para penerima,” katanya.


Pengarang :