Pelakon Raja Azura (kanan), Bell Ngasri (tengah) serta Azlee Senario (kanan) melakukan rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Senandung Aidilfitri lebih menarik, sebar skim dan manfaat untuk rakyat

SHAH ALAM, 6 MEI: Penganjuran Senandung Aidilfitri tahun ini yang disiarkan pada raya kedua dilihat lebih menarik dan bertambah baik.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata pengalaman julung kali diadakan tahun lalu memberi ilmu pengetahuan untuk pihaknya melakukan lebih baik bagi menarik penonton.

“Pengisian memuaskan hati malah sketsa dipaparkan juga banyak membantu penghebahan bentuk bantuan dan skim disediakan Kerajaan Negeri untuk penduduk,” katanya kepada SelangorKini.

Borhan berkata sama ada program diteruskan pada tahun hadapan, keputusan bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19.

“Tahun lalu kita terikat perintah kawalan pergerakan (PKP) jadi ramai duduk rumah tonton rancangan ini. Tahun ini dibenarkan pulang ke kampung dan beraya jadi jumlah penonton kurang.

“Bagaimanapun kita jangka jumlah tontonan meningkat pada hujung minggu ini,” katanya.

Senandung Aidilfitri kali pertama disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat PKP dan disiar di portal selangortv.my, Facebook Media Selangor dan YouTube di https://youtu.be/6xJGAZKNZWM.

Untuk tahun ini, rancangan itu terbahagi kepada lima bahagian iaitu banjir, rebut raya, kampung halaman, dapur raya dan kita bangkit bersama.

Rancangan dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri serta Perbadanan Adat dan Warisan Selangor selama sejam dilakonkan Azlee Senario, Raja Azura, Bell Ngasri dan Sissy Imann.

 


Pengarang :