Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menunjukkan dokumen selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Projek Usahasama Tanaman Jagung Bijirin Menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pada 18 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tapak NFC terbengkalai di Gemas jadi ladang jagung

SHAH ALAM, 20 MEI: Tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) yang terbengkalai di Gemas, Negeri Sembilan akan dimajukan dengan tanaman jagung bijirin.

Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek itu membabitkan kawasan seluas 160 hektar daripada keseluruhan lebih 600 hektar tanah di situ, lapor Berita Harian.

Beliau menjelaskan pembangunan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dimulakan tahun ini dan dianggap terbesar di negeri berkenaan.

“Buat projek lembu pun tak jadi, adalah lebih baik kita cuba majukan dengan projek lain seperti tanaman jagung bijirin. Tanah berkenaan milik Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan dilaksanakan dengan usahasama PKPS dan yang pertama dilakukan dengan agensi itu,” katanya.

Aminuddin menambah projek pengeluaran makanan diperhebat untuk keperluan rakyat bagi mengelak krisis bekalan makanan pada masa hadapan.

“Kita perlu bersiap sedia dari sekarang kerana khuatir krisis bekalan makanan boleh tercetus andai tiada persediaan awal dibuat yang akhirnya akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.

Kelmarin, Selangor dan Negeri Sembilan memeterai kerjasama bagi tanaman jagung bijirin untuk menyelesaikan isu kenaikan harga makanan ayam sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap jagung bijirin import.

 


Pengarang :