Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan siasatan di kawasan berhampiran Sungai Langat pada 11 Mei 2022. Foto Facebook LUAS
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tindakan pantas LUAS elak pencemaran air, gangguan bekalan

SHAH ALAM, 12 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak pantas mengawal pencemaran bau diesel di Sungai Langat dalam tempoh kurang empat jam semalam bagi mengelak gangguan bekalan air kepada pengguna.

EXCO alam sekitar berkata selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaporkan terdapat kesan minyak di longkang awam, siasatan segera dilakukan dan menemui pencemaran berpunca dari bengkel lori.

Menurut Hee Loy Sian, susulan itu LUAS mengaktifkan kod kuning mengikut prosedur manual pencemaran sumber air bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilaksana.

“Agensi melakukan persampelan dalam dan luar premis serta kawasan hulu dan hilir Sungai Langat. Jabatan Alam Sekitar (Jas) turut mengambil sampel dalam premis berkenaan.

“Dalam masa sama Air Selangor meletakkan dua beg serbuk karbon teraktif ke dalam longkang berhampiran premis bagi menahan sisa minyak mengalir masuk Sungai Langat,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menjelaskan sekiranya pencemaran tidak dikawal, Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Bukit Tampoi dan LRA Labohan Dagang akan terjejas memandangkan kedudukan semua loji antara 24 hingga 44 kilometer dengan lokasi tercemar.

Berikutan kejadian katanya, LUAS mengarahkan premis mengalihkan bahan pencemar serta melakukan pembersihan segera mengikut Seksyen 121(1) Enakmen Luas 1999 supaya kejadian tidak berulang.

“Jas dan Majlis Perbandaran Kajang turut memerintahkan pemilik premis melakukan pembersihan segera.

“Operasi semalam turut disertai kakitangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan polis. Selangor tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan pencemaran sumber air malah tindakan tegas diambil selaras peruntukan Enakmen Luas 1999,” katanya.


Pengarang :