Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Jalan Perepat, Teluk Panglima Garang susulan hujan berterusan sejak awal pagi pada 24 Jun 2022. Foto Facebook Ahmad Yunus Hairi
AGENDANASIONAL

64 penduduk terjejas bah di Teluk Panglima Garang

SHAH ALAM, 24 JUN: Hujan renyai berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan sebahagian kawasan di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dilanda banjir kilat hingga menjejaskan 64 penduduk dari 11 keluarga.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.19 pagi sebelum enam anggota dari balai bomba berhampiran bergegas ke lokasi.

Selain hujan, Penolong Pengarah Operasinya Hafisham Mohd Noor berkata insiden tersebut berpunca daripada sistem perparitan tersumbat yang mengakibatkan paras air mencecah 1.5 kaki.

“Tiada pusat pemindahan sementara dibuka namun sebuah keluarga berpindah ke rumah kakaknya di Sijangkang luar.

“Anggota membantu membawa keluarga ini terdiri daripada tujuh mangsa keluar dari rumah ke jalan besar dan dihantar ke rumah kakaknya dibantu polis,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, katanya, sebuah pokok telah tumbang dan menghempap empat kenderaan di Jalan Samudera, Pulau Indah sekitar 5.24 pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.


Pengarang :