BUDAYARENCANA

Changkat terperanjat

Oleh Asyraf Arshad

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

2023. Kecoh satu Pesta Buku di Kotaraya apabila segerombolan ulat buku melakukan rompakan buku besar-besaran pada hari itu. Pada hari terakhir, di mana para penganjur dan penerbit bermati-matian memotong harga dan memberikan harga promosi, mereka masuk dengan senapang dan menutup rapat dua pintu besar Dewan Tun Kuah di aras 2.

Ketua Rompakan Ulat Buku, Siyantan Sikan juga bekas Ketua Pemuda Persatuan Kertas Kitar Semula Malaysia, tenang bersama dengan pembantu kanannya, Kert Komin, juga bekas Ketua Pemuda Persatuan Rak Buku Kayu Jati duduk memerhati keadaan sekeliling. Orang berkerumun memang macam inti nyiur dalam kuih ketayap tapi suasana di dalam dewan sunyi. Bunyi tapak kaki tak kedengaran kerana khabarnya arkitek yang membuat rekaan dewan itu telah melakukan pengubahsuaian terhadap lantainya yang menyerap bunyi tapak kasut.

Melihat kepada situasi dan tidak menyangka tengah-tengah malam begini masih ramai yang berkunjung, konco-konco Kumpulan Ulat Buku rasa bersalah pula untuk melepaskan tembakan ke udara. Mereka hanya menunggu arahan daripada ketua mereka. Siyantan ragu-ragu tapi mengangkat tangan bagi arahan untuk lepaskan juga satu tembakan.

“Bang!” tembakan dilepaskan orang kuat Siyantan yang juga merangkap bendahari Kumpulan Ulat Buku.

Pengunjung yang datang terkejut, terangkat bahu semuanya tapi tidak menjerit walau satu desibel pun. Sudahlah tidak menjerit, dibalas pula dengan senyum seolah-olah rompakan itu adalah satu hadiah kejutan buat pengunjung semua. Sedang meneliti suasana, salah seorang daripada konco kumpulan rompakan pula yang menjerit seperti ternampak lipas sambil berdiri di depan reruai yang meletakkan beras di hadapan gerainya.

“Kenapa Din?” salah seorang konco rapat bertanya tanda cakna.

“Terkejut oh, tetiba ada orang jual beras dekat sini.” Din menarik nafas lega.

Kid pegang rapat bahu Din. “Kau tak faham, Din. Banyakkan membaca lagi, Din. Ini sebenarnya simbolik kepada resmi padi Din. Lagi berisi, lagi tunduk. Maksudnya bila dalam kepala otak kau penuh, beras dalam rumah kau pun boleh penuh.”

Din dengar penuh khusyuk sambil pembantu jualan beras yang ada di reruai tersebut hanya tersenyum walaupun melihat senapang yang ada di tangan. Pembantu jualan tersebut serahkan sepaket beras kecil basmathi kepada Din untuk dibawa pulang. Din pandang matanya dan lihat tag nama, Dian. Din adalah sejenis manusia yang tak boleh tengok perempuan comel. Saat itu Din terus terasa seperti disapa bidadari dengan kelembutan dan kesopanan walaupun beras itu lambang kegagahan yang berpeluh dengan traktor, bantingan tulang besi dan kerahan urat dawai.

Dia ambil satu peluru hidup di dalam kocek. Dia tahu dan mengerti tentang frasa; kerja dulu, baru kamu. Jadi dia tulis dengan marker poin kecil nombor telefonnya dan serahkan pada Dian peluru itu dan berlalu pergi tanpa sepatah kata kerana yang mengerti apa itu dewasa sudah tidak perlu diberitahu apa-apa lagi jika otaknya bersambung.

Din berjalan-jalan lagi ke sekeliling dan tengok semua orang di dalam reruai memang agak ketakutan tapi muka mereka senyum dan hanya memasukkan buku-buku yang mereka beli ke dalam karung guni yang disua oleh konco-konco yang lain.

Din lalu lagi di reruai yang ada dan terkejut melihat satu gerai yang memang betul-betul kiri pemikiran dan alirannya. Semua penulis yang sibuk menandatangani buku peminat dan pekerjanya yang sibuk menekan kalkulator, semuanya kidal sama sekali. Din tambah lagi terkejut bila melihat pembeli yang ada juga semuanya kidal. Din cuba curi-curi dengar perbualan pekerja bersama pembeli yang membeli melebihi 5 ribu ringgit. Itu anggaran kasar Din kerana melihat senarai resit yang panjang sehinggakan pembeli perlu selempangkan di bahu.

Sebenarnya ramai yang tidak tahu rompakan besar-besaran buku ini hanyalah sekadar gimik untuk mengaburi mata orang ramai tentang tujuan utama Siyantan Sikan untuk mencari pemetik gitar kesayangannya yang terjatuh semasa dia datang ke pesta buku ini siang tadi. Bila dia pulang ke rumah, baru dia sedar yang poket seluarnya bocor dan dia memang yakin sama sekali jatuhnya pemetik gitar itu, sememangnya jatuh di dalam dewan itu. Dia punya rasa kebenaran itu tidak pernah menipu dirinya sepanjang dia bergelumang dengan hidup.

Dia tahu dengan dewan yang luas sebegini dan dengan orang yang masih ramai, dia dan konco-konconya akan mengambil masa sehingga subuh jika ingin mencari pemetik tali gitar itu. Dia fikir-fikir kembali dan berbisik kepada Kert Komin untuk gunakan taktik yang terakhir. Dia acukan senapangnya dan tembak 3 das ke atas siling.

“Bang, bang, bang!” bunyi tembakan bergema dan Siyantan cari tempat tinggi supaya semua dapat melihatnya dengan terang.

Strategi menjadi. Semua pengunjung teguh melihat. Dia letak tepi senapang dan ambil mikrofon yang sempat dicuri sebelum naik ke ruang atas.

“Saya minta maaf kepada semua kerana kacau mood untuk memilih buku-buku idaman anda. Saya sebenarnya ada satu masalah sekarang. Saya minta sangat supaya anda semua dapat menonggeng mencari pik gitar saya yang hilang dalam dewan ini. Dekat pik itu ada tulis, purnama. Kalau dapat jumpa, saya akan hadiahkan konsert satu lagu buat anda semua. Setuju tak nak tolong saya?”

“Setuju!” bergema satu dewan seperti menyambut laungan takbir.

Nasib menyebelahi dan memang benar pemetik tali gitar dijumpai di sebuah reruai menjual alat bantuan mengajar kanak-kanak. Siyantan angguk dan mengingat kembali yang dia memang ada jalan kelam kabut ketika lalu di depan reruai tersebut petang tadi. Tanpa membuang masa, untuk menunaikan janji, dia panggil konco-konconya naik ke ruang atas untuk nyanyikan satu lagu buat hiburan dan terima kasih kepada pengunjung sebelum mereka semua pulang tidur.

Kid dari celah keramaian berjalan ke ruang atas sambil berseloroh, “penyanyi mana penyanyi?”

Din sebelum naik ke pentas, sempat mengenyit mata kepada gadis beras. Telefonnya berbunyi dan dia melihat mesej dari gadis beras tersebut.

“Saya gembira Pesta Buku kembali segar dan berbunyi seperti dulu. Saya seolah-olah seperti dalam fantasia bulan madu.” Dari jauh, Gadis beras Dian tatap telefon sambil minum sekotak susu pisang yang disedekahkan oleh reruai buku yang menjual novel tentang burung punai dan juga kitab cara-cara menaiki basikal.

 


Pengarang :