Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bersama penerima pembiayaan skim Hijrah Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan dari rumah dapat sambutan, usahawan Hijrah impikan restoran sendiri

KUALA LANGAT, 27 JUN: Menu makan tengah hari diusahakan seorang usahawan di Kampung Sungai Lang, Banting di sini kian mendapat permintaan penduduk sekitar sejak bernaung di bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Aspalela Musa, 38, berkata pelanggan yang menempah nasi campur dan nasi goreng meningkat kepada 50 orang sehari berbanding sekitar 20 sebelum menerima Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) termasuk latihan daripada pihak terbabit dua tahun lalu.

Aspalela Musa

“Alhamdulillah, walaupun tiada kedai fizikal dan hanya beroperasi di rumah, namun perniagaan saban hari menampakkan kemajuan hasil sokongan dana daripada Hijrah.

“Mereka juga beri bimbingan pemasaran kerana saya promosi perniagaan di media sosial dan pelanggan menempah melalui aplikasi WhatsApp sebelum khidmat tunai ketika penghantaran (COD) dibuat,” katanya.

Terdahulu, beliau antara 20 usahawan Hijrah di daerah ini yang menerima skim pembiayaan sempena Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib dekat sini kelmarin.

Ibu tiga anak itu turut memasang impian memiliki restoran suatu hari nanti sekiranya diberi peluang memohon pembiayaan berikutnya dengan amaun lebih tinggi.

“Setakat ini saya sudah buat dua kali pinjaman modal masing-masing RM4,000. Bayaran balik pinjaman juga dibuat secara konsisten setiap bulan bagi mengelak risiko sukar mendapat pembiayaan seterusnya.

“Seperti usahawan lain, saya juga ada cita-cita untuk pergi lebih jauh dalam perniagaan. Insya-Allah, paling tidak bermula dengan buka warung dulu sebelum memiliki restoran,” katanya.

Wardina Ahmad Safian

Sementara itu, Wardina Ahmad Safian, 22, yang turut menerima pembiayaan skim sama bersyukur apabila perniagaan nasi lemak dan kuih-muih yang diusahakan dua tahun lalu semakin berkembang.

“Saya memang minat memasak sebelum memutuskan untuk berjinak-jinak dalam perniagaan, namun ketika itu saya buntu kerana tiada modal membeli peralatan.

“Kebetulan kawan saya beritahu Hijrah ada sediakan pinjaman, kemudian saya cuba mohon dan Alhamdulillah, permohonan diluluskan.

“Hari ini (kelmarin) saya terima pembiayaan kali kedua dengan jumlah minimum RM4,000,” katanya yang turut menjalankan khidmat COD.


Pengarang :