Sebahagian peserta LGBT yang mengikuti program dakwah anjuran Mais yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jun 2022. Foto Facebook Mais
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais bimbing 30 LGBT kembali kepada fitrah

SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 30 peserta dalam kalangan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) mengikuti program Pembimbing Rakan Komuniti (PRK) Riqab mulai 24 hingga 26 Jun lalu.

Menurut kenyataan di Facebook Majlis Agama Islam Selangor (Mais), program tersebut bagi mendedahkan peserta untuk kembali kepada fitrah dan ajaran Islam yang sebenar.

“Program ini menjadikan Islam sebagai asas dalam kepimpinan serta melatih asnaf riqab sebagai pembimbing yang boleh membantu golongan mereka berhijrah ke arah lebih baik,” kata agensi itu.

Antara aktiviti dijalankan ialah solat berjemaah, tazkirah agama, memanah dan pengisian ilmu seperti panduan imam terbaik, komunikasi dakwah terbaik dan Asas LeaderShip Ohsem.

Mais memaklumkan peserta turut diberikan kata-kata semangat untuk kekal positif dalam menjalani sesi penghijrahan dan menjadi ikutan kepada komuniti yang lain.

Perasmian penutup dan sesi penyerahan sijil serta hadiah disempurnakan oleh Jawatankuasa Riqab Mais Tan Sri Datuk Hashim Meon.

 


Pengarang :