Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar turut melakukan aktiviti sukan woodball di Laman Woodball Datuk Bandar MBSJ USJ 11 di Padang Awam MBSJ USJ 11/5, Subang Jaya pada 14 Jun 2022. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSJ perkenal laman woodball, tarik minat komuniti bersukan

SHAH ALAM, 15 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) semalam memperkenalkan Padang Awam MBSJ USJ 11/5 sebagai Laman Woodball Datuk Bandar MBSJ USJ 11.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berkata inisiatif itu bagi memberi peluang kepada penduduk setempat beriadah sambil melakukan aktiviti sukan tersebut.

“MBSJ turut melaksanakan kerja pengubahsuaian taman seperti memotong akar dan buang tunggul pokok, membersihkan struktur batu dan penambakan kawasan berlubang serta permukaan tidak rata bagi kelancaran 12 laluan (couse) laman woodball ini.

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar berucap merasmikan Laman Woodball Datuk Bandar MBSJ USJ 11 di Padang Awam MBSJ USJ 11/5, Subang Jaya pada 14 Jun 2022. Foto MBSJ

“Kita berharap dengan kemudahan ini, ia dapat memberi manfaat dan mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan masyarakat khususnya warga Subang Jaya sekali gus mencapai sasaran ke arah Pembangunan Bandaraya Mampan dan Madani,” katanya menerusi kenyataan.

Johary menjelaskan laman woodball pertama MBSJ sebelum ini adalah di Wawasan MBSJ berkeluasan 20 ekar dengan 24 laluan bertaraf antarabangsa yang merupakan paling terbesar di negeri ini.

“Sukan ini diperkenalkan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ Zon 16 di Taman Rekreasi Wawasan Puchong dengan penubuhan Kelab Woodball Wawasan diterajui EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

“Kini, Kelab Woodball Wawasan mempunyai 38 ahli berdaftar dan turut aktif menyertai kejohanan di peringkat domestik anjuran Persatuan Woodball Malaysia,” katanya.


Pengarang :