BUDAYARENCANA

Menyelak tabir Clement

Oleh Lokman Hakim

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

Dalam warkah terakhir Thomas More, beliau memesan supaya diserahkan batu algoritma kepada anak angkatnya Margaret Clement. Warkah itu ditulis di atas fabrik dengan arang. Sebelum dihukum pancung, beliau tidak dibenarkan menulis kepada sesiapapun kecuali anak angkatnya itu. Pen dan kertas tidak diberi. Penulis yang memperkenalkan perkataan “Utopia” ini begitu berpengaruh pada zamannya atas ketegasan dalam berprinsip. Tatkala Raja Henry VIII memerlukan sokongan beliau untuk membenarkan perkahwinan kali keduanya dengan Anne Boleyn yang dilihat sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Katolik pada waktu itu, Thomas More yang diketahui seorang warak tetap tegas tidak mengiktiraf perkahwinan itu.

Salah satu persoalan penting mengenai Thomas More ialah bagaimana seorang penulis yang warak dan tegas berprinsip sebegitu boleh mengarang fiksyen seperti “Utopia”. Di dalam “Utopia”, eutanasia digunakan secara meluas, penceraian dipermudahkan urusannya dan juga perkahwinan di antara paderi laki-laki dan paderi wanita dibenarkan. Andai kata “Utopia” merupakan sebuah karya satira, pastilah ia mudah difahami tetapi ia bercanggah dengan karakter Thomas More yang warak. Justeru, apakah alasan Thomas More mengarang karya sedemikian?

Thomas More sanggup mati dipancung demi mengekalkan prinsipnya tetapi tidak teragak-agak menciptakan sebuah fiksyen yang bercanggah dengan prinsipnya sendiri. Hal ini amat menghairankan para sarjana.

Dikatakan Utopia dikarang sewaktu beliau dihantar oleh Raja Henry VIII ke de Lage Landen yang kini merangkumi negara Belanda, Belgium dan Luxembourg. Ia membawa konotasi “No place” yang merujuk kepada kemustahilan situasi yang digambarkan itu, selaku realiti semasa pada waktu itu. Justeru, tidak mustahil juga Thomas More menulisnya sebagai penegasan bahawa realiti yang digambarkan dalam “Utopia” tidak akan direalisasikan sama sekali.

Mutakhir ini, peranan dan kekuasaan pengarang dalam mengubah dan membentuk masyarakat tidak begitu dirasakan. Tiada keperluan untuk kerajaan menyumbat pengarang ke dalam penjara. Tiada keperluan untuk kerajaan mengharamkan karya-karya sastera mutakhir ini secara serius – hatta karya yang diharamkan itu masih lagi boleh dicari di pasaran gelap atau dijual secara dalam talian tanpa pemantauan rapi pihak berkuasa. Dalam era globalisasi yang mana setiap teks yang ditulis begitu mudah beredar tanpa tapisan, semua orang bebas menyuarakan apa jua pendapatnya.

Manipulasi penguasa

“Kebebasan adalah penghambaan,” – ujaran ini diungkapkan dalam novel 1984 tulisan George Orwell yang tersohor, pernah dan masih diharamkan di beberapa buah negara di beberapa penjuru dunia. Lalu, apakah kebebasan dalam pemerolehan karya yang eksplisit dari seluruh dunia itu memerdekakan pemikiran? Lambakan informasi dan keterhadan minda manusia untuk mencerap sebegitu banyak maklumat telah menghilangkan kemampuan generasi mutakhir ini untuk fokus pada makna yang tersirat dalam teks-teks penting. Oleh demikian, kebebasan itu telah memperhambakan manusia dengan ketidakupayaan untuk merenung kebolehdayaan sang penguasa memanipulasi maklumat yang sebegitu banyak itu.

Menulis sebuah novel tebal demi menyebarkan ideologi ataupun mengubah dunia tidak lagi relevan. Andai kata novel “1984” ditulis pada tahun 2022, ia mungkin mendepani kesulitan untuk bertahan di pasaran sebelum tiba ke khalayak yang mampu mencerap intipatinya. Dalam “multiverse” di mana “1984” ditulis pada tahun 2022, ia harus disampaikan dengan cara berbeza. Ia harus disebarkan dengan pemahaman ke atas perubahan algoritma media-media sosial. Sebuah buku harus ditelanjangkan lalu dihancurkan bentuknya supaya intipatinya beredaran dengan lebih cair supaya mudah diserap dalam fikiran masyarakat yang menggulati media sosial melebihi 8 jam sehari.

Teks yang menuntut lebih daripada enam minit pembacaan akan dilangkau demi menelusuri maklumat yang lebih menarik. Para pencipta konten bertungkus-lumus menghasilkan konten sehingga sanggup memainkan sentimen moral dan agama demi meraih perhatian melalui kontroversi yang mencetuskan perbalahan di dalam masyarakat maya. Dalam realiti seumpama itu, masih relevankah seorang pengarang yang bercita-cita mahu menasihati masyarakat duduk mengarang sebuah teks yang melangkaui enam minit pembacaan? Masih wajarkah seorang pengarang berniat mengubah kepincangan masyarakat dengan tulisan berat dan berjela panjang?

Nilai minat ramai

Memahami hakikat ini barangkali membuatkan pengarang mencari keseronokan pengkaryaan yang tidak lagi diladeni keinginan untuk mengubah masyarakat. Namun ia tetap tidak menjustifikasikan bahawa pengarang itu sudah tidak lagi relevan dibaca meskipun karya-karya yang dihasilkan itu tidak punya kualiti yang mampu menjadi cerminan masyarakat. Haruslah kita fahami apa jua tulisan yang dihasilkan pada suatu zaman itu merakam keadaan semasa dan ia sudah memadai.

Pada 6 Julai 1535, Thomas More dipancung di Tower Hill. Kepalanya dipacak di atas tombak yang dipamerkan di Jambatan London selama sebulan selaku suatu hukuman ke atas pengkhianat pada waktu itu. Tidaklah dapat dipastikan adakah pengarang yang dibunuh nuraninya untuk mencerap kebenaran daripada pengamatan masyarakat itu, bernasib lebih buruk berbanding Thomas More ini.

Apa yang pasti adalah, sang penguasa yang memanipulasi lambakan maklumat demi laba besar daripada masyarakat dunia, mengetahui kepentingan buku dan renungan tentang kebenaran yang terpahat di dalamnya. Namun mereka tidak perlu memperlakukan pengarang buku sepertimana yang terjadi kepada Thomas More. Memadailah dengan mengalih perhatian masyarakat daripada membaca karya-karya penting sekaligus ‘membunuh’ karier pengarang.

Justeru, pengarang mempunyai tanggungjawab berat jika berhajat untuk memastikan karya-karyanya terus dibaca. Thomas More sendiri memulangkan batu algoritma kepada Margaret Clement sebelum dipancung. Wanita ini membesar menjadi salah seorang wanita berpelajaran tika era Tudor yang tradisinya tidak memiliki sebegitu ramai ilmuwan wanita.

Barangkali pengarang harus menilai kembali apakah langkah pertama yang harus diambil demi menarik minat masyarakat yang singkat daya tumpuan untuk kembali membudayakan pembacaan buku. Jika Thomas More memulangkan kembali batu algoritma kepada Margaret Clement, maka pengarang juga harus meraih tumpuan pembaca sasaran dengan memahami algoritma pembacaan mereka. Memupuk kelompok pembaca sasaran daripada masyarakat yang singkat daya tumpuan menuntut kerja keras yang kreatif dan manipulatif.

Justeru, sudah bersediakah pengarang waktu ini mengasah batu algoritma untuk dilemparkan ke dalam alam maya?


Pengarang :