Pertandingan e-sukan Mobile Legend dalam Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peminat akui e-sukan ada nilai komersial, mampu jana ekonomi

HULU LANGAT, 20 JUN: Permainan e-sukan tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia memberi nilai komersial yang tinggi di samping mampu menjana ekonomi.

Presiden Kelab Sukan Elektronik Generasi Bijak, Kamil Amir berkata beliau memahami ada segelintir pihak memandang rendah dan menyifatkan ia permainan yang tidak menyihatkan.

Presiden Kelab Sukan Elektronik Generasi Bijak, Kamil Amir

“Tidak dinafikan e-sukan boleh menjadi tidak sihat sekiranya seseorang individu itu menyalahgunakan permainan ini sehingga tidak menjaga kesihatan diri.

“Namun, jika kita pandai membahagikan masa dan memanfaatkan sebaiknya e-sukan ini mampu membantu kepada pembangunan ekonomi negara dan peserta itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pertandingan e-sukan Mobile Legends Bang Bang di program Jelajah Selangor Penyayang dekat padang Taman Kosas, Ampang semalam.

Kamil Amir yang juga penganjur pertandingan berkata sukan itu turut membantu pemain berdisiplin dalam menepati masa dan belajar kaedah berkomunikasi dengan baik termasuk berbahasa Inggeris.

“Ketika kita bermain e-sukan contoh seperti Mobile Legends kebanyakan bahasa sudah ditetapkan ke dalam bahasa Inggeris dan daripada situ kita boleh perbaiki bahasa selain menambah ramai lagi kenalan baru,” katanya.

Hampir 200 individu menyertai pertandingan e-sukan Mobile Legends Bang Bang dengan tawaran hadiah keseluruhan sejumlah RM2,200 pada program berkenaan.

Salah seorang peserta dari Kedah, Mohd Hamizan Sulaiman, 20, turut tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan selepas diajak sepupunya.

“Saya datang sini untuk bercuti kemudian sepupu ajak sertai pertandingan ini bersama dia. Tanpa berfikir panjang dan disebabkan minat yang mendalam saya memilih untuk sertainya,” katanya.

Manakala, Saiful Afiq Ahmad Puad, 30, berkata beliau menceburi e-sukan itu hampir lima tahun dan menyifatkan ia permainan yang sihat dan berbaloi.

“Banyak pertandingan e-sukan saya sertai selama ini dan daripada situ kita belajar pelbagai perkara selain boleh menambah pendapatan. Saya berharap program ini diteruskan,” katanya.


Pengarang :