Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Penduduk Dengkil digalak sertai saringan kesihatan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 15 JUN: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil disaran merebut peluang menyertai program Selangor Saring Sabtu ini bagi mengenal pasti status semasa kesihatan.

Penyelaras DUN Hamidi A Hasan berkata program percuma bermula 9 pagi hingga 5 petang berlangsung di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dengkil.

“Kita mengalu-alukan kehadiran masyarakat Dengkil untuk datang ke program ini kerana ia disediakan khusus oleh Kerajaan Selangor tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Masyarakat tidak boleh sesekali memandang remeh soal kesihatan, sebaliknya perlu mengambil berat dengan membuat pemeriksaan. Jadi mereka harus manfaatkan program ini kerana kesihatan yang baik akan menjamin kehidupan berkualiti,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai medium digunakan bagi mempromosi program berkenaan sekali gus menggalakkan penyertaan ramai masyarakat.

Pegawai Penyelaras DUN Dengkil Hamidi A Hasan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menurutnya selain media sosial, pemimpin setempat turut diminta membuat hebahan kepada orang ramai supaya 500 kuota disediakan mampu dipenuhi.

“Kita memasang 10 gegantung di kawasan perumahan penduduk termasuk pekan Dengkil sejak kelmarin. Ahli jawatankuasa surau dan masjid juga akan membuat pengumuman berhubung program ini kepada jemaah pada Jumaat ini.

“Diharap ia mendapat sambutan menggalakkan, setidak-tidaknya 90 peratus daripada kuota diperuntukkan itu boleh dicapai,” katanya.

Sebanyak RM3.4 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi program Selangor Saring yang dijangka memanfaatkan 39,000 rakyat terutama golongan berisiko seperti mempunyai sejarah keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Penyakit disaring meliputi kategori penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Kategori barah membabitkan kolorektal, prostat, serviks serta payu dara manakala kategori mata pula merangkumi rabun, glaukoma dan retina.


Pengarang :