Penyanyi Liza Hanim menghiburkan tetamu ketika majlis pra pelancaran Ekspo Usahawan Selangor 2022 di Ibu Pejabat PKNS Seksyen 14, Shah Alam pada 27 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGOKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Penyanyi Liza Hanim, Nubhan antara selebriti sertai ekspo usahawan pada September

SHAH ALAM, 28 JUN: Penyanyi Liza Hanim antara selebriti yang bakal menyertai Ekspo Usahawan Selangor 2022 (SELBIZ2022) pada September ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Popular dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa, penyanyi berusia 43 tahun itu berkata dia akan menjual produk minyak wangi, Holiday dan koleksi tudung yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana menganjurkan program ini. Ia memberi motivasi dan semangat kepada usahawan terutama selepas pandemik Covid-19.

“Dengan penglibatan golongan selebriti, ia secara tidak langsung memberi input kepada usahawan lain bagaimana mahu kembangkan produk di sosial media. Siapa pun kita, tetap perlu bersusah payah ketika berniaga,” katanya.

Pemilik nama Haliza Hanim Abdul Halim itu berkata beberapa rakan artis turut menyertai program julung kali itu antaranya Lan Solo, Syura Badron dan Nana Mahazan.

“Penyanyi Nubhan (Akademi Fantasi) yang popular di YouTube menjual sambal Mak Jenny juga akan terbabit sama. Kita harap ramai usahawan baharu mengambil peluang sertai program ini,” katanya.

PKNS buat julung kali mengadakan SELBIZ2022 pada 3 dan 4 September ini bagi membantu peniaga kecil mengembangkan produk jualan masing-masing.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Dato’ Mahmud Abbas berkata pihaknya menyasarkan transaksi urus niaga sehingga RM5 juta sepanjang program dua hari bermula 10 pagi hingga 10 malam itu.


Pengarang :