BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Teknologi jubah halimunan hampiri realiti, senjata masa depan?

Jubah halimunan cukup popular dipaparkan dalam siri filem Harry Potter. Jubah tersebut merupakan salah satu daripada Azimat Maut selain daripada tetongkat tua dan batu kebangkitan. Teknologi itu turut dipaparkan dalam siri Alien vs Predator yang mana Predator mempunyai teknologi untuk menghalimunankan pakaiannya.

Dalam fiksyen moden, keupayaan berhalimunan tidak lagi fokus pada jubah dan pakaian semata-mata. Keupayaan tersebut diperluas pada kenderaan seperti dalam Star Trek dan bangunan halimunan dalam fiksyen lain. Malah, kini munculnya adiwira yang mampu berhalimunan seperti yang dipaparkan dalam filem francais Marvel dan DC Universe.

Sejak berkurun lamanya kita ditayangkan dengan kemampuan untuk berhalimunan dan akhirnya saintis berjaya menjadikan fiksyen itu sebagai realiti.

Metabahan merupakan bahan yang dicipta oleh saintis yang berkeupayaan untuk berhalimunan. Pada 2019, Hyperstealth Biotechnology berjaya mencipta pakaian yang berkeupayaan untuk berhalimunan tidak kira tempat dan musim. Baju halimunan ini dicipta untuk tujuan ketenteraan seperti menyembunyikan ejen, kereta kebal dan pesawat. Bagaimanapun, pakaian halimunan ini masih lagi pada peringkat prototaip. Bagaimana metabahan mampu memberikan keupayaan untuk berhalimunan?

Sebelum dijelaskan dengan lebih lanjut tentang sifat metabahan yang mempunyai keupayaan untuk menghalimunankan objek, perlu difahami terlebih dahulu konsep penglihatan manusia. Bagaimana manusia dapat melihat objek di sekeliling mereka?

Manusia dapat melihat kerana terdapat cahaya yang dipantulkan daripada objek. Apabila sumber cahaya seperti lampu atau matahari dipancarkan kepada objek, objek akan memantulkan cahaya tersebut. Kemudian, pantulan cahaya daripada objek itu bergerak memenuhi ruang termasuk bergerak ke arah mata manusia. Maklumat yang diterima oleh mata melalui cahaya dihantar ke otak dan otak akan memproses imej. Akhirnya, dapatlah kita melihat. Maka, bagaimana metabahan berkeupayaan untuk berhalimunan?

Dengan memahami konsep dan mekanisme penglihatan manusia, tidak dapat tidak, kita perlukan objek yang tidak memantulkan cahaya. Kalau cahaya dapat dipantulkan daripada objek, manusia dapat melihat.
Bahan lutsinar seperti gelas dan kaca merupakan bahan yang tidak memantulkan cahaya. Sebab itulah kadangkala, tingkap kaca yang betul-betul bersih dan sempurna kelutsinarannya akan membuatkan kita tidak nampak kewujudan tersebut sehinggalah kita menyentuhnya.

Namun, bahan lutsinar masih belum lagi mencapai konsep halimunan. Mengapa? Kerana bahan lutsinar hanya mampu halimunan dirinya sendiri, tetapi ia tidak mampu menghalimunankan pemakainya. Terdapat sampul buku yang lutsinar. Apabila dibalut, kita tetap nampak buku tersebut kerana cahaya tidak memantul pada sampul buku, tetapi cahaya memantul pada buku itu sendiri. Maka, dapatlah kita melihat buku tersebut.

Lengkok cahaya

Metabahan amat unik. Ia tidak membuatkan cahaya menembusi dirinya seperti bahan lutsinar. Tetapi metabahan berupaya melengkokkan pergerakan cahaya. Sifat ini amat unik kerana cahaya hanya boleh bergerak lurus.

Satu-satunya keadaan cahaya boleh dilenturkan pergerakannya ialah apabila cahaya melalui kawasan yang amat tinggi gravitinya seperti lohong hitam. Tetapi metabahan juga dapat membuatkan cahaya berkelakuan sedemikian.

Anda bayangkan situasi batu dalam sebatang sungai yang sedang mengalir. Anda akan mendapati air sungai akan melengkuk apabila berlanggar dengan batu. Air sungai akan bergerak di sekeliling batu. Air sungai itu tidak pantul semula, malah tidak pula menembusi batu, tetapi bergerak di sekeliling batu. Begitulah hal yang terjadi pada cahaya apabila bergerak ke arah metabahan.

Sekiranya metabahan ini ditempel pada sebiji epal, cahaya yang bergerak ke arah epal akan melengkuk. Cahaya tidak akan dipantulkan oleh epal tersebut. Cahaya juga tidak akan menembusinya. Maka, epal itu sebenarnya telah menjadi halimunan sebab tiada pantulan cahaya daripada epal yang membolehkan untuk kita melihat keberadaan epal tersebut.

Apa yang kita akan nampak hanyalah objek yang berada di belakang epal. Berbeza dengan aliran sungai, cahaya boleh dipantulkan. Maka, setelah cahaya melalui epal yang ditempel dengan metabahan, cahaya akan terus bergerak menuju ke arah objek-objek yang berada di belakang epal. Kemudian, cahaya itu akan dipantulkan oleh objek-objek tersebut dan cahaya kembali semula ke arah epal lalu dilengkukkan oleh metabahan. Akhirnya, kita dapat melihat objek yang berada di belakang epal tanpa kita dapat lihat keberadaan epal di hadapan mata kita sendiri. Bagaimana metabahan dapat memberikan keupayaan halimunan kepada epal?

Sebelum ini, ahli fizik pernah bersepakat bahawa mustahil untuk menghasilkan bahan yang boleh memberikan keupayaan halimunan kepada objek kerana hal itu telah melanggar hukum optik. Antara hukum tersebut ialah indeks pembiasan.

Biasan

Indeks pembiasan ialah indeks yang mengukur kelajuan pergerakan cahaya apabila melalui suatu medium. Fenomena ini biasanya dipanggil sebagai pembiasan cahaya. Penyedut minuman yang kelihatan bengkok apabila dilihat daripada luar gelas adalah contoh pembiasan cahaya. Bagaimana pembiasan cahaya boleh berlaku?

Pembiasan cahaya berlaku apabila cahaya bergerak lebih perlahan ketika melalui medium tertentu yang digambarkan oleh indeks pembiasan. Cahaya bergerak lurus. Apabila pergerakannya semakin perlahan, pergerakannya tidak selurus seperti pergerakannya ketika pada tahap maksimum.

Apabila cahaya bergerak perlahan, imej yang kita lihat akan menjadi tidak teratur kerana pergerakannya tidak selurus seperti pada tahap maksimum. Indeks pembiasan bagi udara ialah 1.0003 dan vakum pula 1.0. Cahaya bergerak selaju 300,000,000 meter per saat (maksimum) pada indeks pembiasa 1.0. Sebab itulah setiap objek yang kita lihat di sekeliling nampak elok kerana di udara ataupun vakum, cahaya bergerak pada tahap maksimum. Pergerakannya tidak perlahan yang menyebabkan imejnya terherot.

Indeks pembiasan bagi air ialah 1.33 dan cahaya bergerak agak perlahan di dalam air. Sebab itulah berlakunya fenomena pembiasan pada air seperti ikan kelihatan dekat dengan permukaan sungai. Semakin tinggi indeks pembiasan, semakin teruk imej yang terherot. Contohnya, berlian mempunyai indeks pembiasan 2.4. Kalau kita melihat suatu pemandangan daripada kaca mata berlian, imejnya lebih teruk terherot sehingga begitu sukar untuk kita mengenal pasti apa yang kita lihat.

Menurut ahli fizik, nilai indeks pembiasan paling minimum ialah 1.0, tidak boleh kurang daripada itu. Tetapi hebatnya metabahan ialah ia mempunyai indeks pembiasan bernilai negatif. Cahaya yang melalui metabahan mengalami pembiasan yang cukup kuat sehinggakan cahaya melentur dan melengkuk.
Sehingga hari ini, kita masih belum dapat mencipta teknologi baju halimunan yang praktikal untuk dipakai walaupun oleh tentera. Masih lagi di peringkat makmal dan prototaip. Mungkin baju halimunan ini boleh menjadi praktikal dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.

Pada masa itu, mungkin ada peraturan ataupun undang-undang baharu berhubung penggunaan baju halimunan kerana ia juga berpotensi untuk dieksploitasi untuk tujuan jahat. Saintis mungkin mula perlu fikirkan untuk menghasilkan teknologi peranti yang mampu mengesan orang yang sedang berada dalam keadaan halimunan.

* Zamir Mohyedin adalah penyelidik kedoktoran di Universiti Teknologi Mara. Beliau juga ahli fizik yang menulis lapan buku


Pengarang :