Siti Nurul Aishah Zakariah menunjukkan anak udang kara di SMaju Agro Venture, Dusun Tua, Hulu Langat Kajang pada 14 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Ternakan udang kara musnah, usahawan ikon bangkit dari bah besar

Pilu hati Siti Nurul Aishah Zakariah dan Suhaidy Shuib melihat hab pengumpulan dan ternakan udang kara di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat musnah dilanda bah besar.

Bencana pada 17 dan 18 Disember tahun lalu menyebabkan syarikat Smaju Agro Venture milik suami isteri masing-masing berusia 37 tahun menanggung kerugian besar. Jaring, peralatan, sistem paip dan produk jualan akuatik perlu diganti.

Perusahaan hiliran berupa kedai makan Crayfish De Garden milik mereka berhampiran pusat ternakan juga rosak. Semua kerugian lebih RM100,000. Hanya dokumen perniagaan, komputer serta beberapa peralatan elektronik sahaja sempat diselamatkan.

Namun, mereka menganggap ia ujian untuk bangkit lebih bersemangat. Apatah lagi, Siti Nurul Aishah pemenang anugerah Ikon Agro Selangor 2021 pada 7 Februari tahun ini.

Ketika ditemui baru-baru ini, wanita itu mengakui beliau sama sekali tidak menyangka minat suami terhadap hidupan air membuka pintu rezeki untuk menjadi usahawan ternakan.

Mulanya, dek kerana minat Suhaidy berjinak-jinak dalam perniagaan ikan hiasan secara sambilan pada 2013. Siti Nurul Aishah pula faham benar akan hobi suami walau ada masanya beliau menggeleng-gelengkan kepala melihat Suhaidy ralit bermain ikan.

Lama-kelamaan timbul idea si suami untuk memelihara udang kara untuk komersial. Cadangan disuarakan, serta-merta Siti Nurul Aishah bersetuju.

Siti Nurul Aishah Zakariah dan suami Suhaidy Shuib melakukan kerja-kerja pembaikan pusat ternakan udang kara milik mereka di SMaju Agro Venture, Dusun Tua, Hulu Langat Kajang pada 14 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Belajar ternak

Suhaidy mula mempelajari sistem ternakan hidupan air itu dengan seorang rakan di Melaka. Beliau menyasarkan pasaran udang kara kepada golongan yang menjadikannya hobi atau peliharaan dalam akuarium.

Perniagaan dimulakan dengan kolam tangki besar yang memuatkan 150 ekor udang kara. Selepas dua tahun, Suhaidy meletak jawatan sebagai kakitangan kerajaan untuk mengusahakan ternakan secara serius dengan lapan tangki lagi.

“Masa mula-mula suami tunjukkan saya udang kara, saya tidak kenal pun udang kara. Dia ajar saya dan lepas itu kami mula bangunkan sistem ternakan sendiri.

“Selepas sertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) pada 2016, kami perkenalkan sistem berskala lebih besar bagi pasaran hotel, restoran dan pengguna akhir,” kata ibu kepada dua anak.

Pasangan suami isteri berkenaan turut beberapa kali terlibat dalam program Selangor Agrofest. Pada 2017, Suhaidy dan Siti Nurul Aishah menubuhkan Smaju Agro Venture.

Pusat ternakan mereka semakin berkembang menjadi 22 tangki. Bukan untuk ternakan hiasan sahaja tetapi juga menampung permintaan restoran dan hotel di Lembah Klang dan luar Selangor.

Pada 2020, Smaju Agro Venture menambah tangki kolam kepada 80 yang mampu memuatkan satu tan udang kara pada satu-satu masa dengan harga pasaran antara RM75 hingga RM85 satu kilogram.

Anak udang kara di SMaju Agro Venture, Dusun Tua, Hulu Langat Kajang pada 14 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Smaju Agro Venture turut melatih penternak kecil udang kara. Pusat itu melahirkan kira-kira 300 penternak asuhan di seluruh negara. Pasangan itu juga membantu penternak asuhan.

Fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 memberi kesan buruk. Lebih-lebih lagi, kebanyakan pelanggan terdiri daripada hotel dan restoran tidak dapat beroperasi.

“Masa mula-mula memang terasa tetapi kami tukar strategi dengan fokus jualan terus kepada pengguna akhir.

“Tak sangka sambutan agak baik. Mungkin faktor terperap dalam rumah masa itu mendorong orang ramai mencuba pelbagai masakan untuk keluarga,” kata Siti Nurul Aishah.

Walaupun jualan tidak seperti sebelum PKP, namun cukup membiayai operasi syarikat. Mereka menarik nafas lega selepas kian longgar sekali gus restoran dan hotel kembali dibuka.

Pada 2021, pendapatan Smaju Agro Venture melonjak hampir sekali ganda kepada lebih RM550,000. Siti Nurul Aishah dan Suhaidy kini merancang membangunkan agro pelancongan berhampiran hab penternakan milik syarikat mereka.


Pengarang :