Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) (empat, kiri) serta Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) bersama barisan juri dan pelatih selepas majlis pengumuman syarikat terpilih menjalani program Pemecut Fesyen Selangor di Hilton Hotel I-City, Shah Alam pada 29 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

16 jenama dipilih sertai program Pemecut Fesyen Selangor

SHAH ALAM, 29 JULAI: Sebanyak 16 syarikat pemula dipilih menyertai program Pemecut Fesyen Selangor yang julung kali diperkenalkan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua pegawai eksekutifnya berkata syarikat terbabit akan menjalani pelbagai latihan seperti modul kemahiran asas pitching, kesesuaian pasaran produk, identiti jenama, inovasi tekstil, sesi perkongsian dalam pengumpulan dana dan harta intelek (IP) mulai 1 Ogos hingga 23 September ini.

Menurut Yong Kai Ping selepas selesai latihan selama hampir dua bulan, enam syarikat terbaik akan ke peringkat akhir bagi membentangkan idea kepada pelabur dan rakan kongsi industri pada Hari Demo yang dijadualkan 8 Oktober ini.

“Kita menerima lebih 80 permohonan daripada syarikat terlibat dalam industri fesyen untuk menyertai program ini, namun hanya 16 yang layak selepas memenuhi kriteria ditetapkan.

“Antaranya rekaan fesyen berkonsepkan baharu (modest fashion) selain unik dan lain daripada yang lain.

“Pemilihan turut mengambil kira potensi syarikat pemula untuk berkembang dalam industri,” katanya pada sidang media di DoubleTree Hilton Hotel I-City di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Mengulas lanjut, Kai Ping berkata peserta terpilih berpeluang mendapat faedah seperti akaun SQL bernilai RM948, SQL Payroll (RM588), pakej ringan dan mudah Sprii Commerce (RM600) dan pakej awal Pingspace.

“Paling menarik, pemenang berpotensi untuk menerima peluang pelaburan daripada The Hive Southeast Asia dan PNSB,” katanya.

Sementara itu, Masdiana dalam ucapannya menyeru usahawan fesyen terpilih supaya memanfaatkan kelas dan modul yang dijalankan pemain industri profesional sebaik mungkin.

“Saya yakin dengan adanya barisan tenaga pengajar dan mentor yang arif dalam bidang fesyen serta perniagaan boleh membantu mereka mengembangkan jenama.

“Mungkin suatu hari nanti ada antara peserta program ini dapat membawa nama dan jenama mereka ke pentas dunia,” katanya.

Kesemua peserta terbabit akan dinilai juri antaranya penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan beberapa pereka fesyen seperti Melinda Looi, Rasta Rashid, Leslie Variyan dan Wong Lee Leng.

Berikut 16 jenama fesyen terpilih:

  •  AYAYU
  • Jay K Fashion
  • KHATAM FESTIVE APPAREL
  • POYA Light
  • Bambina Bambino Clothing
  • BUJINS
  • Totomi Basics Trading
  • Tolmi Apparel
  • ARUNSAYFULL
  • KALIMA TEXTILE
  • batikTEKTURA
  • Hoor
  • Sash
  • THEINS
  • Miera Fahmi KL
  • S. LEAPITA

Pengarang :