Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Dua anak Jamaludin Jarjis berjaya batal saman nenek

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Dua anak Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis hari ini berjaya membatalkan saman yang difailkan nenek mereka, berhubung pengagihan wang tunai RM2.29 juta milik arwah yang disimpan di dalam akaun bank tempatan dan luar negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan Nur Anis Jamaludin, 37, dan Ikhwan Hafiz Jamaludin, 35, selaku defendan untuk membatalkan saman Aminah Abdullah, 88, yang merupakan ibu Allahyarham Jamaludin pada prosiding kes saman itu yang berlangsung secara dalam talian hari ini.

Hakim Hayatul Akmal membenarkan permohonan dua beradik itu dengan alasan kes saman berkenaan tidak boleh dikekalkan berdasarkan prinsip undang-undang res judicata, kerana fakta sama yang dikemukakan dalam kes berasingan sudah didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga memutuskan tuntutan saman itu adalah bersifat menindas terhadap kedua-dua defendan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Oleh itu, Hakim Hayatul Akmal memerintahkan Aminah selaku plaintif membayar kos RM15,000 kepada setiap defendan dalam masa 14 hari.

Perkara itu disahkan peguam K.Shanmuga yang mewakili Nur Anis dan Ikhwan Hafiz serta peguam Wan Zafran Pawancheek, yang mewakili Aminah.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 31 Mei tahun lepas, Aminah mendakwa kedua-dua cucunya itu selaku pentadbir bersama atau pentadbir terkini, mempunyai kawalan ke atas wang berjumlah RM21.3 juta dalam akaun Allahyarham Jamaludin di bank tempatan dan asing.

Aminah mendakwa beliau berhak terhadap satu perenam daripada jumlah yang disimpan dalam akaun itu, iaitu RM2.29 juta berdasarkan kaedah faraid.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Aminah untuk memasukkan tiga juta unit saham syarikat Rantai Wawasan Sdn Bhd dalam senarai harta pusaka peninggalan Allahyarham Jamaludin.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril menolak permohonan Aminah untuk mengisytiharkan bahawa enam juta unit saham dalam syarikat Alpine Motion Sdn Bhd dan dua unit saham dalam syarikat Ivory Insight Sdn Bhd, adalah sebahagian daripada harta pusaka peninggalan Allahyarham.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur, terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran; serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

– BERNAMA


Pengarang :