Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada 17 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Dua pegawai polis di pusat hiburan: Tiada tangkapan, rampasan wang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Polis Selangor mengesahkan bahawa tiada tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai dibuat terhadap dua pegawai kanan polis yang berada di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, tengah malam tadi.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman ke atas pusat hiburan berkenaan kira-kira 12.15 tengah malam, dua orang pegawai kanan polis berpangkat Asistan Superintenden Polis dan Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Bukit Aman, didapati turut berada di dalam premis tersebut bersama pengunjung lain.

“Polis Kontinjen Selangor mengesahkan bahawa tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya.

Bagaimanapun katanya kes tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk melihat kesalahan dari sudut tatatertib.

“Ingin ditegaskan bahawa, pihak polis tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan polis serta tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :